Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hamzah Zainudin berucap pada Majlis Makan Malam sempena Sambutan Jubli Emas Hari Ulang Tahun Ke-58 Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) di Marriott Hotel, Putrajaya. Foto AFFAN FAUZI, 25 OKTOBER 2022.

PUTRAJAYA – Perikatan Nasional (PN) mengakui wujud gerakan untuk menyatukan gabungan itu dengan Gerakan Tanah Air (GTA).

Setiausaha Agung PN, Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata, risik-risik antara kedua-dua pihak sudah dimulakan namun bukan di peringkat pusat.

“Secara rasmi belum ada tapi di antara wakil-wakil (PN dan GTA) mungkin ada risik-risik. Itu biasa dalam politik.

“Biasa ada risikan dan orang merisik, tapi apa pun yang kita lakukan kita perlu mendapat confirmation daripada pihak atasan.

“Jadi buat masa ini sebelum buat keputusan daripada pihak atasan sama ada perbincangan ini boleh diformalise atau tidak,” katanya selepas menghadiri Majli Makan Malam dan sambutan jubli emas hari ulangtahun ke 50 Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA), sebentar tadi.

Hamzah berkata demikian mengulas pertanyaan media berhubung perkem terkini sama ada PN sudah mengadakan pertemuan dengan pemimpin GTA menjelang Pilihan Raya Umum ke 15 (PRU15), 19 November depan.

Bagaimanapun, Hamzah enggan memperincikan individu-individu yang memulakan gerakan untuk mengaturkan kedua-dua gabungan tersebut.

“Perjumpaan antara siapa itu tak mengapa tapi antara wakil-wakil ada,” katanya.

Ditanya samada gerakan itu membawa peluang cerah kepada penyatuan kedua-dua gabungan, Hamzah tidak menolak perkara tersebut.

“Itu akan ada perbincangan di peringkat atasan,” katanya lagi.

Sabtu lalu, Timbalan Pengerusi Penaja GTA, Datuk Seri Mukhriz Mahathir berkata, pihaknya sudah memulakan perbincangan bersama PN bagi melihat kemungkinan bekerjasama pada PRU15.

Mukhriz berkata, kedua-dua pihak kini berusaha mencapai persefahaman sebelum rundingan secara rasmi dapat dibuat.

Jelas beliau, kerjasama itu mampu dicapai sekiranya kedua-dua pihak dapat mengetepikan perbezaan pendapat dan menetapkan matlamat dalam memastikan Barisan Nasional (BN) tidak menang pada PRU15.

“Ya, GTA dan PN memang ada melakukan perbincangan bagi melihat kemungkinan dapat bekerjasama pada PRU15, namun ia belum sampai ke tahap rundingan rasmi lagi setakat ini.

“Perbincangan masih di peringkat awal yang mana kita masih perlu menentukan konsep gabungan berkenaan dan setakat ini, respons PN adalah positif,” katanya dalam sesi temu bual bersama media di Pejabat Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang), Sabtu lalu.  – MalaysiaGazette