KUALA LUMPUR – Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mempersoalkan sikap berdiam diri Pakatan Harapan (PH) dan Perikatan Nasional (PN) berhubung laporan pasukan khas siasatan membabitkan memoir tulisan bekas Peguam Negara, Tan Sri Tommy Thomas.
Kataya, pada kebiasaan ‘orang bersalah’ akan berdiam diri sekiranya terbabit sama.
“Saya tidak tahu mengapa diam? Biasanya orang yang rasa bersalah, dia diamlah. Itu biasanya.
“Tapi saya tidak tahu (pendirian) mereka dalam isu ini,” katanya kepada selepas menghadiri Taklimat Khas Perdana Menteri Sempena PRU-15 dan Monsun Laut 2022 di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, di sini, hari ini.
Ismail Sabri ditanya berhubung tindakan PH dan PN yang dikatakan belum lagi mengulas berhubung hasil siasatan dan cadangan oleh Pasukan Petugas Khas (STF) ke atas dakwaan dalam buku memoir Tommy.
Dalam pada itu, Perdana Menteri berkata, terserah kepada pihak berkuasa untuk menyiasat Tommy mengikut peruntukan undang-undang sedia ada.
Katanya, antaranya di bawah Kanun Keseksaan dan Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
“Kita sudah nyahfikasikan, sesiapa saja boleh lihat laporan ini di laman Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang Jabatan Perdana Menteri,” katanya.
Ditanya berhubung isu penyertaan Parti Bangsa Malaysia (PBM) ke dalam Barisan Nasional (BN), Ismail Sabri berkata, perkara itu masih dalam pertimbangan.
Tambah beliau, pihaknya masih belum membuat sebarang keputusan termasuk menolak permohonan parti itu.
“Kita tak tolak, tapi masih mempertimbangkan,” ujarnya.
Beliau mengulas status permohonan PBM sebagai komponen BN menjelang Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).
Sebelum ini media melaporkan, BN hampir pasti untuk tidak memuktamadkan sebarang bentuk kerjasama dan kesepakatan politik dengan PBM pada PRU15.
Menurut laporan itu, permohonan PBM untuk menyertai gabungan itu setakat hari ini masih dalam status ‘tergantung’ dan dijangka tidak sempat diputuskan sebelum hari penamaan calon pada 5 November ini. – MalaysiaGazette