PUTRAJAYA – Jabatan Pertubuhan Pendaftaran Pertubuhan (RoS) yang mempunyai tanggungjawab untuk meluluskan permohonan Gerakan Tanah Air (GTA) sebagai sebuah pertubuhan, kata Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainudin.
“Saya tidak tahu kerana itu tanggungjawab RoS, jadi bukan tanggungjawab menteri,” katanya kepada media ketika diminta mengulas mengenai pendaftaran GTA.
Hamzah berkata demikian ketika menghadiri Majlis Makan Malam dan sambutan jubli emas hari ulangtahun ke 50 Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA), malam tadi.
Awal hari ini, Pengerusi Penaja GTA, Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, pihaknya akan menggunakan logo Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) selepas pendaftaran blok politik itu tidak mendapat kelulusan daripada kerajaan.
Mahathir mendakwa, tindakan kerajaan itu bagaikan cuba menghalang GTA daripada mewujudkan kerajaan yang bersih, cekap dan amanah selepas PRU15.
Ditanya mengenai status permohonan GTA, Hamzah sekali menjawab: “Tidak tahu (status permohonan GTA) itu keputusan RoS,” katanya.
GTA yang diketuai Presidennya, Datuk Seri Mukhriz Mahathir telah menghantar permohonan logo dan pendaftaran parti itu kepada RoS Putrajaya pada 6 September lalu.
Untuk rekod, GTA dianggotai Perjuang, Barisan Jemaah Islamiah Se-Malaysia (Berjasa), Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (Putra) dan Parti Perikatan India Muslim Nasional (IMAN). – MalaysiaGazette