UMNO Johor compete solo PAS state election Nur Jazlan
Nur Jazlan Mohamed

KUALA LUMPUR – Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Johor, Datuk Nur Jazlan Mohamad kekal dengan pendirian tidak akan bertanding pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) walaupun komuniti Cina di Parlimen Pulai mahu beliau berbuat demikian.

Katanya, permintaan itu disuarakan oleh sekumpulan masyarakat perniagaan Cina pada minggu lalu.

Ketua UMNO Bahagian Pulai itu tidak mahu bertanding kerana belum yakin masyarakat Cina terutama golongan muda boleh mengikis rasa prejudis terhadap Barisan Nasional (BN).

“Mereka mahu saya kembali untuk mengubah keadaan ekonomi, perniagaan dan pendidikan di kawasan Pulai yang didakwa mereka sudah tepu sejak empat tahun di bawah PH.

“Nampak macam bersungguh-sungguh komuniti ahli perniagaan Cina ini mahu buat perubahan pada PRU15 nanti. Tapi saya masih tak buat keputusan dan kekal dengan pendirian untuk tak bertanding.

“Saya masih belum yakin bahawa orang muda Cina dapat mengikiskan rasa prejudis dan sikap ‘tak dapat apa-apa’ atau dipinggirkan dari dasar BN,” kata beliau.

Nur Jazlan berkata, komuniti Cina kini mahu kembali kepada kehendak asas iaitu ekonomi dan pendidikan.

Menurutnnya, pada PRU14, masyarakat itu ‘terbuai’ oleh Pakatan Harapan bahawa nasib mereka akan dibela oleh Menteri Kewangan daripada keturunan Cina namun ia dihancurkan.

Kerajaan PH juga ‘menghukum’ projek mesra ekonomi yang diusahakan ketika zaman BN (Barisan Nasional) tanpa asas ekonomi dan memikirkan kesan kepada negara.

Malah dalam isu pendidikan, PH juga menindas komuniti Cina dan dinafikan hak.

“Tengoklah apa jadi pada UTAR (Universiti Tunku Abdul Rahman), peruntukan tahunan kepada universiti orang Cina itu dipotong oleh kerajaan PH hanya kerana dikatakan projek institusi pendidikan itu diwujudkan oleh MCA.

“Sampaikan isu pendidikan masa depan pun kerajaan PH nak politikkan sesama sendiri tapi yang jadi mangsanya rakyat,” katanya.

Justeru beliau meminta supaya masyarakat Cina membuang sikap prejudis, rasa dipinggirkan dan membuktikan mereka sudah berubah.

Katanya,  sepanjang BN memerintah setiap kaum mendapatkan hak mereka berdasarkan Perlembagaan.

Malah UMNO sendiri kini sudah beradaptasi dengan kehendak semasa dan tidak lagi hanya memperjuangkan nasib orang Melayu tetapi juga kaum-kaum lain juga. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast