Shahir Adnan

KUALA LUMPUR – Golongan muda yang bakal menjadi pengundi kali pertama diingatkan  tidak teragak-agak untuk keluar menunaikan tanggungjawab sebagai pemilih pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) tidak lama lagi.

Ketua Dewan Pemuda Ikatan Malaysia (DPIM), Shahir Adnan berkata, ini kerana jika golongan ini tidak keluar mengundi, mereka umpama memberi undi kepada pihak lain untuk menang.

Lagipun, tindakan tidak mengundi  bukanlah semangat demokrasi namanya kerana tidak menunaikan hak dan tanggungjawab terhadap negara untuk dipimpin oleh mereka yang berintegriti dan bebas rasuah.

Shahir berkata, anak muda dan rakyat perlu cakna terhadap keadaan politik semasa dalam menentukan siapakah yang mampu mentadbir negara dengan elok.

“Harus diingat bahawa negara mengalami situasi ketegangan antara kaum sewaktu Pakatan Harapan (PH) memerintah apabila pelbagai isu berkaitan agama, bangsa, dan kedaulatan negara disentuh seperti ratifikasi ICERD, Statut Rome, LGBT dan penjualan pelbagai aset negara.

“DPIM menyeru anak muda, terutama mereka yang menjadi pengundi kali pertama untuk keluar mengundi agar menunaikan tanggungjawab masing-masing, walaupun keadaan politik negara hari ini agak terumbang-ambing tatkala pertama kali dalam sejarah kita mendapat tiga Perdana Menteri dan tiga kerajaan dalam tempoh satu penggal.

“Kita perlu mengelakkan situasi keletihan politik demi mengelakkan negara jatuh ke tangan ahli politik yang tidak bertanggungjawab,” tegasnya. – MalaysiaGazette