BAYAN BARU – Perikatan Nasional (PN) akan mengetengahkan misi tolak pemimpin rasuah dalam memenangi kerusi Parlimen daripada parti lawan pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Presidennya, Datuk Dr. Dominic Lou Hoe Chai berkata, prinsip menolak calon rasuah itu akan menjadi tonggak Gerakan melawan calon Pakatan Harapan (PH) serta Barisan Nasional (BN) nanti.

Kata beliau, Gerakan juga membawa konsep ‘Better Penang’ untuk penduduk Pulau Pinang dalam PRU15.

“Tak ada calon Gerakan yang mempunyai kes mahkamah khususnya membabitkan rasuah jadi itu yang akan disampaikan kepada rakyat untuk sama-sama menolak kerajaan rasuah pada pilihan raya kali ini.

“Situasi pertembungan tiga penjuru membabitkan PN, BN serta PH tidak boleh dielakkan meskipun kita merupakan gabungan parti BN sebelum ini.

“Lawan tetap lawan, di luar kita kawan tapi apabila membabitkan soal PRU15 kita mahu semua jentera beri sokongan kepada calon PN demi memastikan kemenangan,” katanya ketika diminta mengulas bagaimana Gerakan akan berdepan calon BN serta DAP di Pulau Pinang.

Mengulas mengenai kebanyakan pengundi dikatakan tidak mengetahui bahawa parti itu sudah keluar BN, Dominic berkata: “Ya memang masih ada segelintir masyarakat tidak tahu kita sudah keluar daripada BN namun peratusan kesedaran mengenainya kian meningkat selepas Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka dan PRN Johor.

“Kita akan terus memaklumkan kepada masyarakat terutamanya golongan veteran melalui semua platform yang ada untuk memastikan maklumat Gerakan yang kini berada di bawah PN sampai kepada rakyat,” kata beliau. – MalaysiaGazette