Remaja perempuan yang didakwa membunuh adik lelakinya di Mahkamah Majistret Kanak-Kanak Johor Bahru pagi tadi.

JOHOR BAHRU – Seorang remaja perempuan,17 tahun yang dituduh menyebabkan kematian terhadap adik lelakinya berusia 16 tahun dihadapkan ke Mahkamah Majistret Kanak-kanak pagi tadi atas tuduhan tanpa niat menyebabkan kematian adiknya, minggu lalu.

Bagaimanapun remaja berkenaan mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah di hadapan Majistret Zuhainie Zull Kafli.

Mengikut kertas pertuduhan, remaja perempuan berkenaan didakwa menyebabkan kematian adik lelakinya yang berusia 16 tahun yang mana dia tahu perbuatannya mungkin menyebabkan kematian di rumah mereka di Jalan Mini Stadium, Kampung Ulu Pulai di sini, jam 1.50 petang, 19 Oktober lalu.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 304(b) Kanun Keseksaan yang boleh membawa hukuman penjara maksimum 10 tahun atau denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Anak sulung daripada lima beradik itu mengenakan pakaian serba hitam ketika hadir ke mahkamah mengangguk faham ketika perbicaraan dijalankan terhadapnya.

Pendakwaan dijalankan Pengarah Pendakwaan Negeri Johor, Tengku Amir Zaki Tengku Abdul Rahman dan Timbalan Pendakwa Raya Hayatul Wirdah Mohd Yunos turut mencadangkan jaminan RM10,000 terhadap tertuduh.

Bagaimanapun, barisan pembelaan yang mewakili tertuduh, iaitu peguam Abd Rahim Ali, Jihad Syahida Nadia Zakaria dan Nur Zafirah Norizan memohon jumlah jaminan itu dikurangkan atas alasan tertuduh adalah kanak-kanak.

Ini kerana dimaklumlan tertuduh merupakan seorang kanak-kanak.

Selain tiada sebab untuk dirinya ( tertuduh) mahu melarikan diri.

Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM10,000 dengan seorang penjamin berserta syarat tambahan perlu melapor diri di Balai Polis Gelang Patah setiap sebulan sekali.

Sebutan semula bagi laporan bedah siasat pada 5 Disember ini.

19 Oktober lalu dilaporkan seorang remaja perempuan telah membaling pisau ke arah adik lelakinya sehingga menyebabkan remaja lelaki itu meninggal dunia.

Kejadian dikatakan berpunca kerana bergaduh akibat berebut tempat duduk dalam kereta ketika pulang dari sekolah, sebelum si kakak bertindak membaling pisau ke arah adiknya selepas dipersenda ketika masuk ke dalam rumah.

Hasil bedah siasat mengesahkan punca kematian si adik disebabkan tusukan hujung pisau pemotong sayur yang terkena pada saluran darah utama (arteri) di bahagian kanan lehernya sekali gus menyebabkan pendarahan yang banyak.

Tertuduh hadir dimahkamah ditemani ibu dan ayahnya.- MalaysiaGazette