Noriah Abdullah

KUANTAN – Menghadapi pelbagai sentimen apabila pernah menjadi penghuni rumah kebajikan ketika remaja menjadi titik tolak seorang wanita untuk teguh berdiri membela nasib mereka yang menghuni di institusi perlindungan kebajikan.

Siapa sangka kesungguhan yang dipamerkan dalam menjalankan tanggungjawab mulia membesarkan anak-anak di rumah perlindungan, Noriah Abdullah dinobatkan sebagai Hero Jaket Oren peringkat Jabatan Kebajikan Masyarakat Negeri (JKMN) Pahang.

Wanita yang berusia 27 tahun itu menang dalam undian Hero Jaket Oren bagi kategori Anugerah Perawatan Berprestasi Tinggi dan membawa pulang wang tunai RM500, trofi dan siijil penghargaan.

Noriah yang dilahirkan pada 1 Januari 1995 pernah menjadi penghuni di rumah Kanak-kanak Tengku Ampuan Fatimah (RKKTAF) di Kuantan sejak Tingkatan 1 sehingga tamat belajar Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

Isteri kepada Mohd Fakrul Azwan kemudian meneruskan kerja sebagai lantikan kontrak JKM sejak 2015 sehingga menjawat jawatan tetap ini mengakui hasil didikan penjaga di insitusi menjadikan beliau bergelar insan.

“Dulu menghuni, kini berkhidmat bersama JKM, pengalaman mempelajari liku-liku kehidupan sebagai penghuni menjadikan saya untuk terus berbakti bersama JKM.

“Saya bersyukur kepada penjaga saya yang digelar ‘mak’, ‘ibu’, ‘encik’ semasa di institusi dahulu. Mereka banyak bagi nasihat dan kata semangat serta menjaga saya ketika menjadi penghuni ketika remaja dahulu.

“Sebenarnya ada lagi yang bagus daripada saya tetapi mungkin ini rezeki, dan saya  akan cuba yang terbaik dalam melaksanakan tanggungjawab yang diamanahkan,” katanya sebak ketika ditemui MalaysiaGazette.

Ibu kepada seorang cahaya mata ini juga bersyukur apabila mengecapi kejayaan yang turut dikongsi oleh tiga adiknya yang juga menghuni bersama di institusi kebajikan itu.

Beliau turut mengakui banyak cabaran yang perlu digalas dalam menjalankan tanggungjawab  diamanahkan bagi melindungi semua penghuni di rumah kebajikan ini.

“Saya pernah menghuni di rumah kebajikan bersama tiga adik-adik, kini semua berjaya dan bekerja, dan ada adik menuntut di madrasah serta melanjutkan pelajaran di UNIPSAS,” ujar Noriah yang menyimpan cita-cita untuk membuka sebuah pusat jagaan pada suatu hari nanti.

Pengitirafan Noriah diraikan dalam Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) dan Hero Jaket Oren 2020-2021 Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Negeri Pahang, dihadiri Exco Perpaduan, Kebajikan Masyarakat, Pembangunan Wanita dan Keluarga Negeri Pahang, Datuk Seri Shahaniza Shamsuddin.

Pada majlis berkenaan seramai lima penerima APC diraikan manakala 26 penerima pula dianugerahkan Hero Jaket Oren JKM diiringi oleh Pengarah Jabatan Kebajikan Masyarakat Negeri Pahang, Datuk Zulkhairi Zainol Abidin yang berlangsung hari ini.

Dalam ucapan perasmian Shahaniza mengharapkan anugerah yang diterima menjadi penyuntik kepada warga JKM untuk terus berkhidmat dengan cemerlang.

Beliau turut berharap kerjasama dan komitmen yang tinggi ini dapat dikekalkan pada masa akan datang bagi mengekalkan prestasi jabatan itu. – MalaysiaGazette