Keadaan Perodua Alza yang terlibat dalam kemalangan di Jalan Ampang, malam tadi.

KUALA LUMPUR – Seorang maut manakala seorang lagi cedera parah dalam kemalangan jalan raya yang berlaku di Jalan Ampang di sini malam tadi.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Farouk Eshak dalam satu kenyataan berkata, kejadian yang berlaku kira-kira pukul 11.50 malam itu melibatkan kereta jenis Proton Waja dan Perodua Alza.

Keadaan Proton Waja yang terlibat dalam kemalangan di Jalan Ampang, malam tadi.

Katanya, kemalangan dipercayai berlaku apabila Proton Waja bergerak lurus dari Lembah Jaya menuju ke Kuala Lumpur telah melanggar bahagian sisi kiri Perodua Alza yang sedang membelok ke kanan memasuki Bandar Baru Ampang.

“Pelanggaran tersebut menyebabkan pemandu Perodua Alza tercampak keluar daripada kereta yang dipandu. Mangsa berusia 32 tahun dan pemandu Waja berusia 24 tahun telah cedera parah dan dihantar ke Hospital Ampang untuk rawatan lanjut,” ujarnya.

Mohamad Farouk berkata, pemandu kereta Perodua Alza disahkan meninggal dunia ketika menerima rawatan di Hospital Ampang pada pukul 7 pagi tadi.

Jelasnya, siasatan awal mendapati kemalangan berpunca daripada kecuaian salah seorang pemandu yang melanggar lampu isyarat merah hingga menyebabkan kemalangan.

Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. – MalaysiaGazette