Khairul Shahril Idrus

KUALA LUMPUR – Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mempunyai kuasa untuk membatal atau menangguhkan pilihan raya di kawasan yang terjejas dengan banjir, bergantung kepada situasi bencana itu.

Timbalan Ketua Pengarah Bahagian Pengurusan Pasca Bencana Nadma, Datuk Khairul Shahril Idrus berkata, SPR boleh membuat keputusan tersebut sekiranya banjir yang melanda kawasan berkenaan menganggu proses pengundian.

”Jika SPR mendapati keadaan banjir boleh mengganggu pengundi untuk keluar, ganggu proses pengundian, SPR mungkin boleh keluarkan arahan piihan raya di kawasan berkenaan ditangguh atau keputusan dilambatkan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjadi  panel dalam Program Tadbir Urus Bencana Banjir di Malaysia yang dianjurkan oleh Majlis Profesor Negara (MPN) petang tadi.

Bagaimanapun, kata Khairul, jika air sekadar di paras buku lali ia tidak menjadi satu masalah besar untuk meneruskan proses pengundian.

“SPR sudah ada ketetapan berhubung proses ini berdasarkan standard prosedur yang ada.

“Jadi keputusan untuk membatalkan pilihan raya jika banjir besar berlaku adalah keputusan SPR, bukan Nadma,” tambah beliau.

Azizan Abu Samah (kiri) dan Khairul Shahril Idrus (tengah) dalam Program Tadbir Urus Banjir anjuran MPN.

Nadma hanya bertindak mengurus bencana, sesuai dengan arahan yang dikeluarkan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN).

“SPR sudah mempunyai SOP dalam menghadapi pilihan raya di waktu banjir. Nadma bertanggungjawab ,menjalankan usaha menyelamat bantu mangsa (meskipun ia pada hari mengundi),” katanya lagi.

Mengulas lanjut, Khairul berkata cabaran yang dihadapi oleh Nadma semasa berlakunya bencana banjir adalah memenuhi jangkaan rakyat.

“Jangkaan rakyat adalah semua akan berlaku dengan sebaik mungkin dari segi bantuan, persiapan dan sebagainya.

“Tapi kita mesti faham dalam situasi bencana, akan ada satu tempoh yang mana keadaan tidak begitu terurus. Tetapi seperti sebelum-sebelum ini jangkaan rakyat semuanya (situasi banjir) berjalan dengan 100 peratus tersusun,” tambah beliau.

Malaysia diramalkan mengalami Monsun Timur Laut (MTL) pada bulan November ini.

Dalam masa yang sama hari mengundi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) pula ditetapkan pada 19 November.

Azizan Abu Samah

 

Sementara itu, seorang lagi panelis Felo Penyelidik Kanan, Institusi Sains Lautan dan Bumi UM, Prof. Datuk Dr. Azizan Abu Samah menyeru agar rakyat khususnya yang tinggal di kawasan berisiko berlaku banjir, sensitif terhadap amaran awal yang dikeluarkan oleh pihak berkuasa.

Katanya, penduduk-penduduk di kawasan berkenaan hendaklah dengan segera bertindak apabila sudah mendengar amaran awal.

“Belajarlah daripada pengalaman lalu,” ujarnya. – MalaysiaGazette