BN kerajaan
Pengerusi BN, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berucap ketika melawat Pusat Daerah Mengundi (PDM) Likas Darat pada kempen PRN Sabah pada September 2020.- Gambar hiasan.

BERDASARKAN ucapan dan kenyataan yang dikeluarkan oleh pemimpin-pemimpin Barisan Nasional (BN), gabungan politik yang diterajui oleh UMNO itu berkeyakinan tinggi untuk meraih sekurang-kurangnya majoriti mudah pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Keyakinan itu adalah berasaskan kepada keputusan Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka dan Johor yang menyaksikan BN kembali membentuk kerajaan negeri yang teguh selepas memenangi majoriti lebih dua pertiga.

Faktor-faktor lain seperti kekuatan jentera akar umbi, sentimen rakyat dan rekod prestasi turut memberi kelebihan kepada BN, terutamanya di kerusi-kerusi yang mempunyai majoriti pengundi Melayu.

Penganalisis politik, Dr. Azmi Hassan menjangka BN mampu meraih kemenangan di 80 hingga 85 kerusi Parlimen di Semenanjung yang mempunyai majoriti sekurang-kurangnya 65 peratus pengundi Melayu.

Melihat kepada angka tersebut, beliau berkata, ia masih tidak mencukupi untuk BN mendapatkan majoriti mudah 112 kerusi.

Maka, BN memerlukan sokongan parti-parti lain khususnya di Sabah dan Sarawak untuk kembali membentuk kerajaan.

Ketika ini, Gabungan Parti Sarawak (GPS) menyandang 20 dari 31 kerusi Parlimen di negeri berkenaan.

Pakatan Harapan (PH) pula menyandang tujuh kerusi diikuti Bebas dua kerusi manakala Parti Bangsa Malaysia (PBM) dan Parti Sarawak Bersatu (PSB) masing-masing satu kerusi.

Gabungan Rakyat Sabah (GRS) pula menyandang 10 kerusi diikuti BN dua kerusi dan PBM satu kerusi. PH pula menyandang 12 kerusi.

Seperti yang diketahui umum, dasar GPS adalah menyokong parti yang membentuk kerajaan Pusat. Sekiranya BN mempunyai majoriti di Semenanjung, dasar itu berkemungkinan besar diteruskan.

Namun, bagaimana pula dengan GRS yang mempunyai kaitan dengan Perikatan Nasional (PN)? Adakah ia akan bersama dengan BN di peringkat Persekutuan?

Azmi yang juga Pakar Geostrategis dan Felo Kanan, Akademi Penyelidikan Strategik Nusantara berpandangan, tidak mustahil GRS akan mengikut langkah GPS untuk bersama BN membentuk kerajaan Persekutuan.

“GRS dan GPS akan bertindak mengikut kepentingan negeri masing-masing. Seperti UMNO dan BN di Sabah, GRS juga mempunyai kuasa autonomi,” katanya ketika dihubungi MalaysiaGazette, hari ini.

Beliau turut menjangka satu lagi senario mungkin berlaku sekiranya BN tidak mencapai sasaran sekurang-kurangnya 80 kerusi di Semenanjung.

Pas mungkin ‘dipelawa’ untuk bersama kerajaan baharu yang bakal dibentuk selepas PRU-15.

Sekiranya senario itu menjadi kenyataan, kerajaan Malaysia bakal ditadbir oleh gabungan BN, Pas, GPS dan GRS.

sabah kerajaan BN
Azmi Hassan

Bagi mencapai sasaran tersebut, Azmi berkata, UMNO dan BN memerlukan mandat yang kuat daripada rakyat agar lantikan menteri Kabinet tidak perlu terlalu mengikut kuota parti seperti yang diamalkan sebelum Parlimen dibubarkan.

“Menteri-menteri yang bakal dilantik nanti adalah lebih berkaliber dan boleh buat kerja,” jelasnya. – MalaysiaGazette