Dr. Wan Junaidi Tuanku Jaafar

PUTRAJAYA – Pasukan Petugas Khas (PPK) Siasatan ke Atas Dakwaan Dalam Buku bekas Peguam Negara, Tan Sri Tommy Thomas ditubuhkan dengan persetujuan Mesyuarat Jemaah Menteri pada 22 Disember 2021.

Justeru, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Seri Dr. Wan Junaidi Tuanku Jaafar menyifatkan dakwaan Yang Dipertua Majlis Peguam Malaysia, Karen Cheah konon kesaksamaan dan keupayaan PPK melakukan siasatan ke atas buku My Story: Justice in the Wilderness sebagai tidak berpihak adalah tidak berasas dan tidak benar sama sekali.

“PPK telah mencari dan mengesahkan fakta serta melaksanakan analisis mendalam terhadap setiap pemerhatian sebelum merumuskan semua dapatan dalam laporan yang telah dibentangkan kepada Jemaah Menteri pada 30 September 2022.

“Semua ahli PPK telah menjalankan tanggungjawab hampir lapan bulan secara bebas tanpa campur tangan mana-mana pihak dan semua penelitian serta dapatan yang dikemukakan adalah berpandukan kepada 19 sesi konsultasi yang diadakan bersama pelbagai pihak berkepentingan.

“Di samping itu, PPK juga telah meneliti pelbagai maklumat dan dokumen yang dibekalkan oleh agensi-agensi kerajaan berkaitan,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Beliau mengulas kenyataan Cheah yang mendakwa bimbang dengan penyahklasifikasian laporan mengenai dakwaan yang dibuat oleh Tommy dalam memoir tulisannya dan mempersoalkan kesaksamaan pasukan petugas yang menyiasat dakwaan itu.

Dakwanya, Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengakui bahawa beliau menyahklasifikasi laporan itu supaya ia boleh digunakan sebagai ‘peluru’ politik untuk menyerang pembangkang.

Cheah berkata, Majlis Peguam mengambil isu mengenai keabsahan pasukan petugas itu kerana pendekatan yang sepatutnya adalah melalui penyiasatan bebas di bawah Suruhanjaya Siasatan Diraja.

Menurut Wan Junaidi, bagi memastikan setiap pandangan diambil kira, PPK telah mengambil inisiatif menjemput wakil Majlis Peguam Malaysia memberikan pandangan terhadap isu berbangkit dalam buku tulisan Tommy itu.

Namun, tegasnya, Majlis Peguam Malaysia enggan mengambil bahagian dalam sesi konsultasi dengan PPK.

Sehubungan itu, kata beliau, persepsi negatif yang cuba ditimbulkan Majlis Peguam Malaysia berhubung kesaksamaan dan keupayaan PPK melaksanakan tanggungjawab secara tidak berpihak disifatkan sebagai tidak berasas.

“PPK pernah memberi peluang dan menjemput Majlis Peguam Malaysia untuk memberikan pandangan berhubung isu berbangkit dalam buku berkenaan.

“Saya ingin menegaskan, bahawa metodologi, perkara yang diteliti dan pihak yang terlibat dalam sesi konsultasi serta pihak yang enggan memberikan kerjasama telah disenaraikan dalam laporan dan ini juga menjadi contoh bagaimana PPK telah melaksanakan tanggungjawab secara terbuka dan tidak berpihak,” katanya.

PPK, menurut beliau lagi, turut mengemukakan senarai cadangan penambahbaikan yang memberikan manfaat kepada peningkatan mutu sistem keadilan dan kehakiman di Malaysia untuk diteliti semua pihak berkaitan. – MalaysiaGazette