Para pengunjung terpegun dengan seni naif yang dihasilkan Awang Fadilah.

KOTA KINABALU – Galeri Azman Hashim Universiti Malaysia Sabah (GAH-UMS) sedang mengadakan Pameran Khas Awang Fadilah bermula 3 sehingga 28 Oktober 2022.

Pengarah GAH-UMS Dr. Mohammad Puad Bebit berkata, pameran dibuka kepada orang ramai pada Isnin hingga Khamis bermula pukul 9 pagi hingga 4 petang bertempat di ruang pameran Kaamatan.

Pameran khas ini diadakan dengan kerjasama seorang pelukis seni naif terkenal, Awang Fadilah Ali Hussein.

Beliau digelarkan sebagai ‘Man Land Below the Wind’ dalam kalangan penggiat seni disebabkan oleh karya yang dihasilkan tertumpu kepada penggunaan warna putih dan hitam, yang bertemakan kepada aspek kebudayaan, kehidupan serta keindahan flora dan fauna yang terdapat di Sabah.

Menurut Mohammad Puad, penganjuran pameran itu turut diadakan dengan kerjasama Persatuan Seni Visual Sabah (PSVS) sebagai tanggungjawab sosial (CSR) untuk membantu pelukis yang dilanda musibah.

Untuk rekod, Awang Fadilah pernah meraih pengiktirafan antarabangsa apabila memenangi tempat kedua ACCU Noma Concours di Tokyo, Jepun pada tahun 2006 dan Pemenang Purple Island, Nami Concours, Korea pada tahun 2015.

Walau bagaimanapun anak jati dari Menumbok Sabah itu sedang mengalami kemerosotan tahap kesihatan termasuk mengalami penyakit buah pinggang, serta mempunyai kekurangan fizikal akibat kecederaan dan kemalangan. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast