Lim Guan Eng.

GEORGE TOWN – Pengerusi DAP, Lim Guan Eng enggan mengulas tindakan bekas Ahli Parlimen Bentong, Wong Tack yang mengumumkan akan bertanding atas tiket bebas selepas digugurkan daripada senarai calon DAP bagi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Sebaliknya penyandang kerusi Parlimen Bagan itu hanya memberi penghargaan kepada beberapa bekas ahli Parlimen DAP yang sebelum ini mengumumkan tidak akan bertanding pada PRU15.

Antaranya penyandang kerusi Parlimen Damansara, Tony Pua, Kasthuri Patto (Batu Kawan), Charles Santiago (Klang) dan Ong Kian Ming (Bangi).

“Saya hanya nak menyatakan dan menghargai sumbangan yang diberikan Tony Pua, Kasthuri, Charles Santiago dan Kian Ming yang telah menerima keputusan oleh Setiausaha Agung, Anthony Loke Siew Fook atas sumbangan mereka kepada parti sebelum ini.

“Secara peribadi mereka telah menunjukkan kesepakatan dan kehebatan mereka baik dalam parti mahupun kerajaan.

“Sungguhpun tidak bertanding, mereka tetap masih menyokong parti,” katanya pada sidang media di Wisma DAP Pulau Pinang di sini, hari ini.

Media sebelum ini melaporkan Wong Tack  akan bertanding atas tiket bebas di kerusi itu selepas digugurkan sebagai calon PRU15.

Beliau turut mengumumkan keluar DAP selepas merasakan dirinya dikhianati oleh parti itu. – MalaysiaGazette