Najib Razak diiringi pegawai penjara ketika hadir ke mahkamah bagi sambung perbicaraan kes pengubahan wang haram membabitkan dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB) di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur. Foto AMIRUL SHAUFIQ, 26 SEPTEMBER 2022.

KUALA LUMPUR – Mahkamah Tinggi di sini hari ini menolak permohonan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak memulakan prosiding semakan kehakiman bagi mencabar keputusan Jabatan Penjara Malaysia yang tidak membenarkannya menghadiri persidangan Dewan Rakyat penggal ini.

Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Ahmad Kamal Md Shahid menolak permohonan Najib untuk mendapatkan kebenaran itu, selepas mendapati permohonannya kini bersifat akademik berikutan pembubaran Dewan Rakyat pada 10 Oktober lalu.

Dalam penghakimannya, hakim berkata, dengan pembubaran Parlimen baru-baru ini bermakna sidang Dewan Rakyat sudah berakhir dan Najib bukan lagi Ahli Parlimen Pekan, sekali gus menjadikan perisytiharan yang dimohon oleh Najib bukan lagi isu yang boleh dipertimbangkan oleh mahkamah.

Jelasnya, sehingga pengampunan diberikan, tiada kemungkinan untuk pemohon menjadi ahli Parlimen kerana undang-undang tidak membenarkan seorang banduan untuk bertanding dalam pilihan raya umum.

“Saya menolak permohonan ini kerana ia remeh dan menyusahkan,” katanya hari ini.

Kenderaan yang membawa Najib Razak tiba di mahkamah bagi menghadiri keputusan permohonan kehakiman bagi mencabar keputusan Jabatan Penjara yang enggan membenarkan beliau menghadiri sidang Dewan Rakyat di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur. Foto AFFAN FAUZI, 27 OKTOBER 2022.

Penyandang Parlimen Pekan itu ketika ini sedang menjalani hukuman penjara selama 12 tahun, mahu mencabar keputusan Menteri Dalam Negeri dan Komisioner Jeneral Penjara yang disampaikan melalui Penjara Kajang pada 28 September lalu, menolak permohonannya menghadiri sidang Parlimen atas alasan keselamatan.

Dalam permohonan semakan kehakiman yang difailkan pada 5 Oktober lalu, Najib menamakan Kerajaan Malaysia, Menteri Dalam Negeri dan Komisioner Jeneral Penjara sebagai responden-responden. – MalaysiaGazette