Pengerusi Perikatan Nasional, Tan Sri Muhyiddin Yassin bercakap kepada media selepas mempengerusikan Mesyuarat Majlis Presiden Perikatan Nasional di Bangunan Yayasan Selangor, Petaling Jaya, Selangor. Foto AFFAN FAUZI, 27 OKTOBER 2022.

PETALING JAYA – Perikatan Nasional (PN) memuktamadkan pembahagian kerusi di antara Pas, Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dan Parti Gerakan di Semenanjung pada hari ini. 

Pengerusinya Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, proses perbincangan yang disertai oleh wakil parti-parti terlibat berlangsung dengan baik. 

Menurut beliau, pengumuman akan di buat di peringkat negeri tidak lama lagi.

“Alhamdulillah hari ini kita telah muktamadkan pembahagian kerusi-kerusi antara parti-parti dalam Perikatan Nasional khususnya yang ada di Semenanjung iaitu Bersatu, Pas dan Gerakan.

“Saya nak nyatakan bahawa saya rasa berbangga kerana sikap saling menghormati dan bertoleransi dan memberi ruang dan peluang kepada semua pihak menyatakan hajat dan hasrat mereka,” katanya ketika ditemui di lobi Yayasan Selangor, hari ini.

Bagaimanapun, Muhyiddin enggan mendedahkan jumlah kerusi  yang diperuntukkan untuk Pas dan Gerakan.

“Jumlahnya itu nanti biarlah diumum PN di peringkat negeri masing-masing,” katanya.

Terdahulu, Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi hadir pada pertemuan PN pada hari ini.

Turut kelihatan, Timbalan Presiden parti itu, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man dan Setiausaha Agungnya, Datuk Seri Takiyuddin Hassan. – MalaysiaGazette