Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussien menyempurnakan pemakaian beret Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) kepada pegawai dan anggota lain-lain pangkat daripada Kumpulan Pertama Malaysian Battalion 850-10 (MALBATT 850-10) Angkatan Tentera Malaysia (ATM) yang akan dihantar ke Lubnan bagi menyertai misi Unifil di Pangkalan Udara Subang, Selangor. Foto MOHD ADZLAN, 27 OKTOBER 2022.

SHAH ALAM – Kementerian Pertahanan (MINDEF) dan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) sudah selesai membuat penilaian fizikal ke atas pesawat latihan lanjutan dan dwifungsi tempur ringan (FLIT-LCA) setakat ini.

Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Hussein berkata, malah rundingan harga pesawat terbabit dengan pihak pentender juga sudah dimuktamadkan.

“Saya difahamkan penilaian fizikal nya (pesawat FLIT-LCA) telah pun selesai.

“Laporan yang saya terima daripada Mindef juga, rundingan harga dengan pentender yang disyorkan sendiri oleh pengguna akhir iaitu TUDM pun telah pun selesai.

“Sekarang ini kita tunggu apa yang akan diputuskan oleh Kementerian Kewangan (MOF),” katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Perolehan FLIT/LCA merupakan sebahagian daripada komponen pelan strategik Pembangunan Keupayaan 55 (CAP55) Fasa I yang akan berakhir pada 2030.

Ia bertujuan untuk menggantikan pesawat Hawk 108/208, MB339CM dan MiG-29N.

Dalam pada itu, Hishammuddin mengulangi komitmennya untuk memastikan pesawat FLIT-LCA tidak akan menimbulkan sebarang masalah kepada pengguna akhir iaitu TUDM.

“Yang akan menentukan apa aset-aset diperlukan ialah pengguna akhir itu sendiri.

“Insya-Allah kalau kita dapat putuskan dalam masa terdekat ini daripada MOF, kita teruskan saja apa yang perlu kita buat,” katanya lagi. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast