Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussien menyempurnakan Penyerahan Bendera Malaysia kepada pasukan daripada Kumpulan Pertama Malaysian Battalion 850-10 (MALBATT 850-10) Angkatan Tentera Malaysia (ATM) yang akan dihantar ke Lubnan bagi menyertai misi Unifil di Pangkalan Udara Subang, Selangor. Foto MOHD ADZLAN, 27 OKTOBER 2022.

SHAH ALAM – Tiada keperluan memasukkan komitmen kerajaan untuk menangani isu keselamatan Laut China Selatan dalam manifesto Barisan Nasional (BN) dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) pada 19 November ini.

Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Hussein berkata, komitmen kerajaan untuk menangani isu keselamatan rantau Asia khususnya melibatkan Sabah dan Sarawak telah terbukti dan rakyat boleh menilai keupayaan BN.

“Saya rasa tak perlu ada manifesto kerana kita telah buktikan komitmen kita di Sabah dan Sarawak. Orang ramai atau kuasa-kuasa besar yang mengintai rantau kita tidak boleh diyakinkan (keselamatan) melalui manifesto pilihan raya.

“Saya realistik dalam hal ini, kalau kita letakkan dalam manifesto, apa kesannya pun saya tak tahu. Tanggungjawab, komitmen dan kesungguhan kita untuk melihat kestabilan keselamatan dan pertahanan rantau ini, saya tengok ianya berjalan, tak kira musim pilihan raya atau manifesto yang dibentangkan,” katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Hishammuddin Hussien mendukung seorang kanak-kanak yang hadir ke Majlis Pemakaian Beret Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu, Penyerahan Bendera Malaysia dan Penghantaran Kumpulan Pertama MALBATT 850-10 UNIFIL di Pangkalan Udara Subang, Selangor. Foto MOHD ADZLAN, 27 OKTOBER 2022.

Tambah Hishammuddin, melalui kerjasama pertahanan secara trilateral antara negara-negara jiran termasuk Indonesia, Brunei dan Filipina, ianya mampu membantu negara menangani isu keselamatan rantau Asia sekalipun berdepan dengan masalah aset pertahanan.

“Isu-isu aset yang membelenggu kita, kita melihat di luar kotak, sebab itu kita wujudkan trilateral (segi tiga kerjasama). Kalau kita gabungkan aset Indonesia, Filipina dan Brunei, gandingan itu mungkin boleh membantu kita.

“Ini adalah kekangan yang dihadapi oleh semua tentera di luar sana dalam ekonomi dunia yang tidak menentu ini, penghujungnya ialah keselamatan kita di sini, Brunei, Indonesia dan Selatan Filipina (terjamin).

“Kalau kita hanya memikirkan aset-aset kita sendiri, nak berhadapan dengan China, Amerika Syarikat (mungkin tak mampu), jadi kita nak realistik berada di atas bumi yang nyata, kalau nak berpolitik pun ada had dan batasannya,” katanya lagi. – MalaysiaGazette