Kelvin Yii Lee Wuen

KUALA LUMPUR – Tawaran Pakatan Harapan (PH) mewujudkan jawatan Timbalan Perdana Menteri 2 (TPM 2) bagi Malaysia Timur tidak sama tujuannya sebagaimana dicadangan oleh Barisan Nasional (BN) untuk mewujudkan 3 jawatan TPM.

Ini kerana, jawatan TPM 2 yang dijanjikan oleh PH sejak era Pakatan Rakyat sebelum ini telah dinyatakan oleh Pengerusi Pakatan Harapan, Datuk Seri Anwar Ibrahim kelmarin bertujuan mempercepatkan kemajuan di Sabah dan Sarawak.

Ketua Pemuda PH, Kelvin Yii Lee Wuen berkata, jawatan itu juga bersesuian dengan pindaan Perlembagaan Persekutuan berhubung Perjanjian Malaysia 1963 yang diluluskan tahun ini dan memberi taraf sama rata kepada negeri Sabah, Sarawak serta Semenanjung.

”Peranan TPM 2 dalam hal ini adalah untuk memastikan lebih banyak peruntukan pembangunan disalurkan serta memantau pembangunan yang terbaik untuk rakyat di kedua dua negeri.

”Tambahan pula kedudukan Sabah dan Sarawak yang bersempadan dengan wilayah Kalimantan yang bakal dimajukan secara besar besaran oleh pemerintah negara jiran kerana ibu negara Indonesia yang baharu, Nusantara akan dipindahkan ke sana,” katanya dalam kenyataan di sini.

Sehubungan itu, seharusnya Sabah dan Sarawak mempunyai infrastruktur berkelas dunia dan boleh menerima limpahan kemakmuran yang bakal dibawa oleh negara kuasa ekonomi ke-5 besar di dunia sebelum tahun 2030 berkenaan.

Justeru, tambahnya, jawatan TPM 2 bukanlah tawaran semberono kepada parti parti politik di Malaysia Timur untuk membentuk Kerajaan Persekutuan.

Tetapi, ia adalah polisi bagi memakmurkan rakyat Sabah dan Sarawak memperolehi kemajuan yang setara dengan penduduk di Semenanjung. – MalaysiaGazette