KUANTAN – Malang tidak berbau bagi seorang bakal pengantin apabila terpaksa berputih mata setelah kerugian RM20,900 akibat ditipu butik perkahwinan.

Ketua Polis Daerah Bentong, Superintendan Zaiham Mohd Kahar berkata, pihaknya menerima dua aduan daripada seorang wanita berusia 57 tahun dan anaknya yang berumur 28 tahun pada 24 Oktober lalu.

“Syarikat pakej perkahwinan itu memperdaya orang ramai dengan cara membuat pengiklanan promosi pakej perkahwinan di laman Facebook menggunakan nama syarikat,” katanya dalam kenyataan, malam ini.

Tambah beliau, suspek mensasarkan bakal pengantin yang tinggal di daerah Bentong dan menawarkan pakej yang melibatkan set pelamin, baju pengantin, pakej persolekan, jurugambar, khemah dan katering.

Mangsa yang menghubungi suspek untuk mendapatkan perkhidmatan pakej promosi tersebut kemudian diminta berjumpa suspek untuk berunding, jelasnya.

“Suspek meminta mangsa membuat bayaran penuh untuk menempah pakej perkahwinan dengannya,” ujar beliau.

Bagaimanapun, menurut Zaiham, suspek tidak dapat dihubungi dan menghilangkan diri setelah mangsa membuat pemindahan wang.

Katanya, siasatan mendapati syarikat berkenaan wujud dan berdaftar di bawah Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) dan butik pengantin tersebut telah ditutup.

 Jelasnya, kes disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan. -MalaysiaGazette