KUALA LUMPUR – Penyerang kebangsaan yang pemain PJ City, Darren Lok kini dikaitkan dengan spekulasi bakal sertai pasukan Sabah FC untuk musim hadapan.
Menerusi hantaran di kumpulan Facebook Sabah Property, isteri Darren , Abigail Mary Ryan menulis:
“Saya dan suami saya dalam proses berpindah ke Kota Kinabalu pada Disember atau Januari dan ketika ini sedang mencari rumah untuk disewa.
“Kami suka dengan D’Banyan Residency, ada tak sesiapa yang tahu ada mana mana unit untuk disewa di sini? Terima kasih,” tulisnya.
Hantaran itu menyebabkan peminat peminat bola sepak mulai yakin bahawa Darren akan menyertai skuad bimbingan Datuk Ong Kim Swee di Sabah.
Sabah musim ini menamatkan saingan di tangga ketiga melepasi sasaran pengurusan tertinggi Sabah yang mahu mereka menamatkan saingan di lima teratas.
Walaupun sedang menghadapi kempen Piala Malaysia 2022, Sabah dilihat sudah mempersiapkan diri untuk musim hadapan.
Sebelum ini, Darren sudah dikaitkan dengan perpindahan ke Sabah sejak beberapa minggu yang lalu namun buat masa ini masih belum ada pengesahan rasmi
Ini kerana dia mahu menumpukan perhatiannya bersama dengan PJ City untuk kempen Piala Malaysia.
Lok antara pemain yang seringkali dipanggil untuk mewakili skuad kebangsaan terutama sekali di bawah Kim Pan-gon.
Pemain berusia 31 tahun itu juga pernah menyarung jersi JDT dan Terengganu FC sebelum berpindah ke PJ City.
Ketika bersama PJ City dia menyerlahkan keupayaannya dan mendapat lebih banyak minit permainan di sana.
Hasilnya, Darren berjaya menjadi pemain yang menempatkan diri dalam kalangan pemain pemain kebangsaan. – MalaysiaGazette