Larry Sng bersama Zuraida di perasmian Persidangan Agung Tahunan Pertama PBM di Shah Alam pada 1 Oktober lalu.

KUALA LUMPUR – Dua ahli biro politik Parti Bangsa Malaysia (PBM) digantung jawatan berkuatkuasa serta merta bermula kelmarin.

Perkara itu diumumkan Presidennya, Datuk Larry Sng Wei Shien, berikutan tindakan Setiausaha Agungnya, Nor Hizwan Ahmad dan Ketua Penerangan, Zakaria Abdul Hamid dikatakan memanggil Mesyuarat Majlis Tertinggi pada 7 Oktober lalu tanpa arahannya.

Katanya, mengikut rekod pendaftar pertubuhan, beliau masih lagi Presiden PBM yang sah sehingga hari ini.

“Selaras dengan Perlembagaan PBM Fasal 60 (iii), saya telah mengambil keputusan untuk menggantung jawatan Nor Hizwan dan Zakaria berkuatkuasa serta merta.

“Keputusan ini dibuat berikutan kedua mereka telah memanggil Mesyuarat Majlis Tertinggi pada 7 Oktober lalu iaitu serentak dengan pembentangan Bajet 2023 dan saya tidak dimaklumkan mengenainya.

“Mesyuarat itu juga dikatakan telah melantik Datuk Zuraida Kamarudin sebagai presiden, sedangkan jawatan itu tidak pernah kosong,” katanya menerusi hantaran Facebooknya, semalam.

Menurut Larry, beliau tidak suka dengan muslihat politik sedemikian yang menjejaskan kepercayaan kepimpinannya sehingga menyebabkan kekeliruan kepada ahli parti serta masyarakat.

Oleh itu, tegasnya, jawatan Nor Hizwan dan Zakaria akan digantung sehingga Jawatankuasa Tatatertib ditubuhkan selepas Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) untuk meneliti perkara tersebut.

Dalam pada itu, ujarnya, fungsi Setiausaha Agung akan dikendalikan oleh Timbalan Setiausaha Agung, Jenny Chiew.

Dalam hantaran itu juga, beliau menyertakan senarai kepimpinan PBM bagi sesi 2021-2024 sebagaimana dalam rekod Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (RoS).

Presiden, Larry Soon@Larry Sng Wei Shien; Timbalan Presiden 1, Haniza Mohamed Talha; Timbalan Presiden 2, Wong Judat; Naib Presiden Kanan 1, Stevan Choong Shiau Yoon; Naib Presiden Kanan 2, A. Sivasubramaniam.

Naib Presiden 1, Rahimah Majid; Naib Presiden 2, Dr. G. Sathiskumar; Naib Presiden 3, Muhammad Saiful Bahari Sahri; Ketua Wanita, Dr. Daroyah Alwi; Ketua Pemuda, Na’im Brundage; Setiausaha Agung, Nor Hizwan Ahmad; Timbalan Setiausaha Agung, Jenny Chiew.

Bendahari Agung, Paul Yong Choo Kiang; Ketua Penerangan, Zakaria Abdul Hamid; dan tujuh Ahli Majlis Tertinggi iaitu Ab. Aziz Ab. Kadir, Alan Oh Teik Choon, Lee Chin Chieh, Zakaria Abdul Rahim, Muniraa Abu Bakar, Lavenia Mawas anak Munan dan Engga anak Unchat. – MalaysiaGazette