KUALA LUMPUR – Menghubungi pengundi atas pagar antara tugasan yang boleh dipilih oleh sukarelawan PKR yang mendaftarr melalui aplikasi CISTA.
Timbalan Presiden PKR Rafizi Ramli berkata, sehingga kini lebih 30,000 sukarelawan telah berdaftar dengan sistem tersebut untuk membantu parti itu dalam Pilihan Raya Umum (PRU) ke-15.
Bagaimanapun menurut Rafizi, jumlah itu masih lagi kurang berbanding sukarelawan yang berdaftar ketika Pilihan Raya Umum 2018.
“Dalam PRU 2018, PKR menggerakkan 40,000 sukarelawan untuk menang 42 kerusi marginal yang memungkinkan PH menjadi Kerajaan Persekutuan.
“Setakat ini, jumlah sukarelawan yang berdaftar melalui aplikasi CISTA telah melepasi 30,000.
“Kami perlukan lebih ramai rakyat Malaysia menyertai kempen ini,” katanya dalam kenyataan di media sosial.
Selain menghubungi pengundi atas pagar sukarelawan CISTA juga boleh memilih untuk menjadi ejen kira undi atau PACA untuk mengelakkan penipuan pilihanraya.
Selain itu mereka juga boleh berkempen dari rumah ke rumah, bergilir-gilir menjadi petugas bilik-bilik gerakan kempen dan membantu kempen digital.
“Sama ada anda meluangkan satu jam, dua jam atau 5 jam seminggu, bantuan anda akan membantu kempen. Ayuh Malaysia, kita boleh perbaiki masa depan,” kata Rafizi.
Menurut Rafizi, bantuan sukarelawan diperlukan kerana bukan semua pengundi adalah anggota parti.
Rafizi berkata, majoriti pengundi adalah penyokong tanpa parti dan pengundi atas pagar.
“Andalah yang menentukan masa depan keluarga anda sendiri di peti undi. Bukan sahaja undi anda penting, bantuan anda membantu kempen PKR dan PH juga penting,” katanya.-MalaysiaGazette