William Ng

KUALA LUMPUR – Perusahaan kecil dan sederhana (PKS) di negara ini bimbang dengan prospek tahun depan, kata Pengerusi Persatuan Perusahaan Kecil dan Sederhana Malaysia (Samenta), Datuk William Ng

Kebimbangan itu disebabkan ketidaktentuan politik, ekonomi dan peningkatan Kadar Dasar Semalaman (OPR).

Bahkan, dua daripada tiga peruncit meramalkan berlaku penurunan dalam nilai jualan dan volum.

Dapatan itu hasil tinjauan Kajian Separuh Penggal PKS yang dikendalikan pada bulan Julai dan Tinjauan dan Ramalan Runcit 2023 pada bulan September lalu.

Katanya, perang Rusia dan Ukraine yang berpanjangan, pertikaian di Selat Taiwan dan trend jualan di kebanyakan bursa juga telah menjejaskan prospek tahun depan.

Situasi ini dikhuatiri menyebabkan penyusutan jualan, lonjakan kos dan kekurangan pekerja.

“Keadaan ini akan mengekang negara untuk membina sektor peruncitan yang dinamik sebagai antara pemacu ekonomi Malaysia,” katanya dalam kenyataan di sini.

Namun, PKS yakin dengan prospek jualan untuk baki tahun ini kerana sektor peruncitan menyaksikan pemulihan yang pesat sejak ekonomi negara dibuka semula.

Tambah Ng, pada bulan Ogos contohnya, nilai jualan meningkat tahun ke tahun sebanyak 34.5 peratus kepada RM57 bilion. – MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast