AMPANG – Parti Keadilan Rakyat (PKR) hari ini mengumumkan 72 calon bagi kerusi Parlimen yang akan ditandingi dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) pada 19 November ini.
Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim bakal bertanding di Parlimen Tambun manakala isterinya, Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail mencuba nasib di Bandar Tun Razak.
Sementara Nurul Izzah pula akan mempertahankan Parlimen Permatang Pauh dan bukan di Ampang seperti khabar angin sebelum ini.
Manakala Timbalan Presiden PKR, Rafizi Ramli pula kembali ke Parlimen Pandan yang dimenanginya pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13).
Sementara itu, bekas Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik akan mempertahankan Parlimen Simpang Renggam yang dimenanginya dalam Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) pada 9 Mei 2018.
Selain itu, dua Menteri Besar dari Selangor dan Negeri Sembilan iaitu Datuk Seri Amirudin Shari dan Datuk Seri Aminuddin Harun pula masing-masing bertanding di Parlimen Gombak dan Port Dickson pada PRU15 ini.
Manakala lapan penyandang Parlimen pula diberi kepercayaan semula untuk kembali bertanding termasuk Akmal Nasir (Johor Bharu), William Leong (Selayang), Wong Chen (Subang), Datuk Abdullah Sani Abdul Hamid (Kapar), Prabakaran (Batu), Sim Tze Tzin (Bayan Baru), Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail (Kulim Bandar Baharu) dan Fauziah Salleh (Kuantan).
Lebih menarik apabila PKR turut menampilkan muka baharu termasuk Nik Omar Nik Abdul Aziz (Pasir Salak), Datuk Husam Musa (Pasir Mas) dan Adam Adli Abdul Halim, (Hang Tuah Jaya).
Seorang lagi bekas Timbalan Menteri Industri Utama, Datuk Seri Shamsul Iskandar Md Akin pula bakal berentap dengan calon “underdog” yang juga Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi di Parlimen Bagan Datuk.
Selain itu, PKR turut meletakkan calonnya di kerusi-kerusi panas termasuk Parlimen Pekan (Mohd Naim Zainal Abidin), Bera (Abas Awang), Pagoh (Iskandar Shah Abdul Rahman dan Rembau (Jufitri Johar). – MalaysiaGazette
Sama mcm Atok dan Lim Kit Siang..anak beranak monopoli..dah mcm tk de org lain…perghhh