Ismail Sabri Yaakob berucap di Program Jelajah Aspirasi Keluarga Malaysia di sini hari ini.

KUANTAN – Perdana Menteri sekali lagi menegaskan Bajet 2023 yang dibentang dengan peruntukkan terbesar dalam sejarah sebanyak RM372,3 bilion bukan sekadar manifesto.

Ia kerana, kerajaan mempunyai kewangan yang mencukupi untuk melaksanakannya, yang mencakupi keperluan semua lapisan masyarakat bagi memastikan tiada Keluarga Malaysia yang tercicir.

Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, dalam mencapai aspirasi ini, sebanyak RM1 bilion
diperuntukkan bagi menyahut Program Pembasmian Kemiskinan Tegar Keluarga Malaysia (BMTKM).

Kerajaan turut menaikkan Bantuan Awal Persekolahan (BAP) kepada RM150 berbanding RM100 sebelum ini dan akan diberikan kepada semua murid tanpa mengira had pendapatan ibu bapa mereka.

Di bawah inisiatif CahayaMata Keluarga Malaysia, ibu daripada isi rumah penerima Bantuan Keluarga Malaysia (BKM) yang melahirkan anak pada tahun 2023 akan diberikan bantuan tunai one-off sebanyak RM500.

Golongan belia juga bakal menerima kredit e-dompet menerusi inisiatif e-Pemula sebanyak RM200 bagi 2 juta belia berumur 18 hingga 20 tahun serta pelajar sepenuh masa berumur 21 tahun ke atas.

Bagi golongan wanita, sejumlah RM235 juta disediakan sebagai dana pembiayaan tersedia khas di bawah Skim Semarak-Nita BSN, Tekunita TEKUN, DanaNITA Mara, dan Biz Lady Bank Rakyat agar lebih ramai wanita menceburi bidang keusahawanan.

Sementara itu, Ketua Isi Rumah (KIR) yang berpendapatan di bawah RM2,500 yang memiliki lima anak atau lebih, akan menerima bantuan sebanyak RM2,500.

Ismail Sabri berkata, ini juga merupakan bantuan tunai terbesar dalam sejarah negara.

”Insya-Allah, segala inisiatif tersebut dapat dilaksanakan sekiranya kerajaan yang saya terajui, diberi mandat pada PRU-15, supaya bajet ini dapat dibentangkan sekali lagi di Dewan Rakyat, dibahaskan dan diluluskan,” katanya ketika berucap merasmikan Program Jelajah Aspirasi Keluarga Malaysia di sini hari ini.

Kerajaan juga telah memperuntukkan sebanyak RM1.307 bilion untuk menaik taraf dan menyenggara jalan persekutuan di Pahang, sekali gus akan membuka kawasan baharu dan merancakkan pertumbuhan ekonomi serta meningkatkan taraf hidup penduduk setempat.

Sebanyak RM572.8 juta juga telah diperuntukkan bagi projek-projek pembinaan dan menaik taraf jambatan serta jejantas bagi memastikan keselamatan dan keselesaan Keluarga Malaysia Pahang.

Tambahnya, kerajaan juga komited dalam melaksanakan Pakej Central Spine Road sepanjang Kuala Krai, Kelantan ke daerah Bentong sejauh 350 kilometer tanpa tol dengan kos projek sebanyak RM8.7 bilion yang dijangka siap sepenuhnya pada tahun 2026.

Dalam sektor pendidikan di Pahang, terdapat 40 projek baharu dan sambungan sekolah serta institusi pendidikan dengan kos RM754 juta di bawah Rolling Plan Kedua RMK12 Tahun 2022.

Daripada jumlah tersebut, sebanyak 13 projek telah siap sepenuhnya, 18 projek sedang dalam peringkat pelaksanaan dan 9 projek berstatus prabina.

Menurut Perdana Menteri, dalam bidang kesihatan, sebanyak dua buah klinik kesihatan juga sedang dibina dengan Kuarters Bandar Raub dan Kuala Triang, Bera dengan peruntukan sebanyak RM40 juta yang dijangka siap tahun hadapan.

Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) pula telah memperuntukkan sebanyak RM3.32 bilion bagi 101 buah projek pembangunan di Pahang dengan pecahan 39 projek baharu dan 62 projek sambungan untuk keselesaan Keluarga Malaysia.

”Di bawah KPLB, sebanyak 60 unit rumah dibina dan 2,250 unit dibaik pulih (keseluruhan sebanyak 2,310 unit) di bawah Program Perumahan Rakyat Keluarga Malaysia, melibatkan peruntukan sebanyak RM36 juta, yang memberi manfaat kepada lebih 11,500 ahli isi rumah luar bandar.

”Bagi membantu golongan berpendapatan rendah di Pahang, sebanyak 12,444 unit rumah di bawah Program Rumah Mampu Milik di bawah Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan telah siap dibina, sebanyak 2,171 unit dalam pembinaan dan 3,905 unit lagi dalam perancangan, menjadikan keseluruhan sebanyak 18, 520 unit,” ujarnya.

Bagi menghadapi monsun timur laut, sebanyak RM1.8 billion disediakan di bawah projek tebatan banjir dan baik pulih hakisan pantai termasuk di Kampung Tanjung Batu, Pekan dan Rancangan Pemulihan Koridor Sungai Triang dan Sungai Semerting Mukim Pelangai di Bentong serta Pelan Induk Saliran Mesra Alam Bandar Bera.

Terdapat projek perintis kawalan hakisan dan kelodak di kawasan bercerun Cameron Highlands yang melibatkan kos RM6.07 juta bagi mengurangkan masalah serta meningkatkan kelancaran sistem saliran.

Manakala sejumlah RM1.215 bilion akan dibelanjakan untuk pembinaan dua loji rawatan air baharu, lima projek penambaikan loji rawatan air dan muka sauk, tujuh projek pembinaan tangki air untuk sistem agihan dan satu Program Air Tidak Terhasil bagi membantu menyelesaikan masalah bekalan air di Pahang. – MalaysiaGazette