IPOH – Parti komponen Pakatan Harapan (PH), DAP dan Amanah bakal bertembung di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Changkat Jong di Perak pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) kali ini.
Ini kerana kedua-dua parti telah mengumumkan calon mewakili parti masing-masing bagi kerusi DUN tersebut hari ini.
Untuk makluman, Parti Amanah telah mengumumkan Muhaimin Sulam sebagai calon PH manakala sebentar tadi Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke pula mengumumkan nama calon DAP, Badrul Hisham Badarudin bagi kerusi yang sama.
Ketika sidang media selepas pengumuman calon-calon DAP Perak bagi kerusi Parlimen dan DUN, Anthony Loke sekali lagi menegaskan, calon dari partinya telah dipersetujui oleh kepimpinan top 3 Majlis Pakatan Harapan (PH).
“Biar Amanah selesaikan perkara dalam kalangan ahli mereka tetapi calon dari DAP sudah dipersetujui dari top 3 iaitu Datuk Seri Anwar Ibrahim, Mohamad Sabu dan saya sendiri pada mesyuarat Khamis lepas.
“Dari peringkat nasional, calon yang kita (DAP) umum sudah dipersetujui, jika dari peringkat negeri tidak setuju, mereka perlu selesaikan sendiri. Pada saya, tidak timbul persoalan adanya pertembungan dalam PH untuk kerusi Changkat Jong,” tegasnya.
Pada PRU 2018, Changkat Jong telah dimenangi calon Barisan Nasional (BN), Datuk Mohd Azhar Jamaluddin yang telah menewaskan calon PH, Muhammad Faizul Mohamed Ismail (Bersatu) dengan majoriti tipis 67 undi. – MalaysiaGazette