ACP Noor Dellhan Yahaya

KUALA LUMPUR – Polis telah selesai merakam keterangan daripada tiga orang individu bagi membantu siasatan kes seorang lelaki parah selepas dibelasah di Flat San Peng dalam kejadian pada Rabu lalu.

Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Noor Dellhan Yahaya berkata, pihaknya telah memanggil dan merakam keterangan termasuk dua pengawal peribadi kepada pengarah sebuah syarikat swasta.

“Kita telah merakam keterangan dua pengawal peribadi itu yang masing-masing berusia 23 dan 30 tahun semalam dan setakat ini seramai tiga individu telah selesai dirakam percakapan.

“Kita juga dalam proses merakam keterangan pegawai perubatan bagi membantu siasatan,” katanya dalam kenyataan pagi tadi.

Polis juga sedang dalam tindakan untuk memanggil dan merakam percakapan daripada pengarah syarikat swasta itu.

Tambah Noor Dellhan, siasatan awal polis mendapati punca kejadian disebabkan perselisihan faham berkaitan lalu lintas.

Pada Jumaat, polis telah berjaya mengesan satu video tular berdurasi 48 saat yang menunjukkan seorang individu cedera di kepala dan muka.

Siasatan awal polis mendapati kejadian itu berlaku kira-kira jam 10 malam melibatkan sekumpulan individu tempatan di flat berkenaan.

Kes berkenaan sedang disiasat mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan.

Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat mengenai kejadian itu disarankan agar menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi di talian 03-26002222, Hotline Polis Kuala Lumpur di talian 03-21159999 atau mana-mana balai polis berhampiran bagi membantu siasatan lanjut.- MalaysiaGazette