Mohd Rafiq Naizamohideen

MELAKA – Naib Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Datuk Mohd Rafiq Naizamohideen dijadual membuat pengumuman penting mengenai kedudukannya pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) dalam satu sidang media khas esok.

Walaupun tiada pengesahan rasmi mengenai kandungan sidang media berkenaan, namun ia dipercayai berkaitan namanya yang tidak disenaraikan sebagai calon bagi kerusi Parlimen Tangga Batu.

Namun, sejak petang tadi tular dakwaan dalam kalangan individu tertentu mengatakan bekas Pengerusi Perikatan Nasional Melaka dan Ketua Badan Pimpinan Parti Pribumi Bersatu Melaka itu akan keluar parti sekaligus melepaskan jawatannya sebagai Naib Presiden.

Sementara itu, Mohd Rafiq ketika dihubungi memberitahu akan mengadakan satu sidang media petang esok.

“Saya hanya akan jelaskan segalanya menerusi satu sidang media petang esok,” katanya enggan mengulas lanjut.

Kerusi Parlimen Tangga Batu dikatakan menjadi rebutan antara Pas dan Bersatu yang sebelum ini disandang Rusnah Aluai daripada PKR yang turut diumum calon parti itu pada PRU-15.

Pada PRU15, Pas dikatakan mahu meletakkan calonnya, Pesuruhjaya Pas Negeri, Zulkifli Ismail yang juga merupakan Yang di-Pertua Pas Kawasan Tangga Batu.

Susulan itu, timbul beberapa spekulasi mendakwa tindakan Pas yang juga rakan sekutu Bersatu di dalam PN kurang disenangi bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Paya Rumput itu kerana turut mahu bertanding di kerusi berkenaan.

Pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka 20 November lalu, Mohd Rafiq yang bertanding di Dewan Undangan Negeri (DUN) Telok Mas memperoleh 3,976 undi sekali gus tewas kepada calon Barisan Nasional (BN), Datuk Abdul Razak Abdul Rahman yang mendapat 6,052 undi. – Malaysia Gazette

1 Komen

  1. kawasan adun yang kecil pun tidak boleh tawan, ada hati nak tawan parlimen yabg besar. Renung-remungkan lah.

Comments are closed.