Wee Ka Siong merasmikan Hari Sukan Negara Daerah Batu Pahat dan pemberian Bantuan Lesen Keluarga Malaysia, BLKM di SMK Suria Perdana, Batu Pahat, Johor.

BATU PAHAT – Syarikat-syarikat penerbangan diminta menambah kekerapam menjelang Pilihan Raya Umum, ke -15, PRU 15, bagi memastikan harga tiket terkawal dan dapat dikurangkan.

Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong juga mahu waktu operasi di lapangan terbang dilanjutkan sehingga tengah malam, sepanjang musim pilihan raya kali ini.

Katanya, syarikat penerbangan perlu berlaku adil kepada pembeli terutama golongan mahasiswa yang kebanyakannya memilih membeli tiket pada harga murah.

Lantaran itu, Ka Siong meminta Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (Mavcom) menggiatkan pemantauan harga-harga tiket dan jadual penerbangan bagi membolehkan lebih ramai rakyat dapat pulang untuk mengundi pada 19 November 2022.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menghadiri Hari Sukan Negara Daerah Batu Pahat dan pemberian Bantuan Lesen Keluarga Malaysia, BLKM di SMK Suria Perdana, Batu Pahat, Johor.

Katanya, Kementerian Pengangkutan memberi jaminan semua perkhidmatan bas mencukupi untuk sepanjang tempoh pilihan raya.

Jelasnya, kementerian itu telah meminta Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) untuk memberi kelulusan terus kepada syarikat pengusaha bas yang memohon untuk menambah jumlah bas dalam tempoh pilihan raya.-MalaysiaGazette