Logo Parti Amanah Negara

SUNGAI PETANI – Barisan kepimpinan Parti Amanah Negara (Amanah) Kedah didakwa akan memboikot calon Pakatan Harapan (PH) bagi Parlimen Jerai pada Pilihan Raya Umum Ke-15.

Tindakan itu dikatakan bagi menzahirkan rasa ketidakadilan berhubung agihan kerusi yang ditandingi.

Sumber MalaysiaGazette berkata, ketidakpuasan itu timbul susulan kegagalan Amanah mempertahankan kerusi Parlimen Jerai sebaliknya terpaksa memberi laluan kepada calon DAP.

“Kegagalan ini pastinya akan meninggalkan kesan mendalam kepada Kedah amnya memandangkan kawasan Jerai didominasi Melayu yang jelas alergik dengan stigma parti DAP.

“Susulan itu, satu mesej tegas perlu diberikan kepada DAP bahawa tindakan tersebut mengundang petaka kepada Amanah dan PH amnya,” katanya kepada MalaysiaGazette.

Tambah sumber, keputusan mempertaruhkan calon DAP hanya dibuat oleh pimpinan Amanah di peringkat pusat.

Mengulas lanjut sumber berkata, Pengerusi Amanah Kedah, Datuk Phahrolrazi Zawawi akan mengadakan satu sidang media berhubung ketidakpuasan hati mereka di Pejabat Amanah Jerai di Guar Chempak jam 5 petang ini.

Semalam, Timbalan Pengerusi DAP Kedah, Zulhazmi Shariff diumumkan sebagai calon tunggal DAP yang bertanding di Kedah. – MalaysiaGazette

1 Komen

Comments are closed.