Pengerusi Lembaga Pemegang Amanah YPASM, Dato’ Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar menyerahkan baju overwinter kepada Justin (tepi kiri).

KOTA KINABALU – Pensyarah Fakulti Sains dan Sumber Alam (FSSA) Universiti Malaysia Sabah (UMS), Prof. Madya Dr. Justin Sentian menjadi penyelidik pertama Malaysia yang akan mengadakan kajian di Antartika pada musim sejuk bermula April 2023.

Beliau menerima One-off Overwinter Research Grant 2022 bernilai RM149,360 sempena sambutan ulang tahun ke-10 Yayasan Penyelidikan Antartika Sultan Mizan (YPASM), baru-baru ini.

Menurut kenyataan YPASM, Justin akan mengadakan kajian untuk terus memahami proses perubahan iklim bertajuk “Tropospheric Ozone and Halocarbons Variations in the Antarctic Peninsula Under Extreme Weather Conditions”.

”Penyelidikan itu diadakan dengan kerjasama organisasi Instituto Antartico Chileno dan negara Chile. Prof. Madya Dr. Justin Sentian akan menjadi rakyat Malaysia pertama berkunjung dan tinggal di Antartika semasa musim sejuk untuk tempoh lima bulan bermula April 2023.

YPASM berhasrat untuk merekodkan kejayaan ini dalam “Malaysia World Book Of Record” setelah beliau pulang kelak,” katanya dalam satu kenyataan. – MalaysiaGazette