khairuddin mengundi muda songsang musuh Allah
Mohd Khairuddin Aman Razali

KUALA NERUS – Rakyat Terengganu mesti memilih Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) bagi mengelakkan mudarat Pakatan Harapan (PH) mengambil alih pemerintahan negeri itu dan negara.

Penyandang kerusi Parlimen Kuala Nerus, Datuk Dr. Mohd. Khairuddin Aman Razali berkata, para pengundi termasuk penyokong Pas hendaklah memangkah calon-calon BN pada 19 November ini.

“Menghalang mudarat PH adalah wajib kerana mudarat mereka mestilah dihilangkan dan sepatutnya ia dilakukan dengan muafakat Pas dan UMNO yang besar bilangan sokongan 3.4 juta ahli campur sejuta ahli jadi 4.4 juta penyokong.

“Tapi yang 4.4 juta tak berlaku maka kena sokong yang ahlinya 3.4 juta, jangan sokong yang sejuta yang campur entah berapa daripada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu). Yang boleh halang PH menang hanyalah BN.

“Perikatan Nasional (PN) tak mampu nak sekat PH. Undi kepada PN hanya akan pecahkan undi maka orang-orang Pas, kena undi BN kali ini. Ahli Pas kekal dan istiqamahlah dengan Pas tapi undilah BN untuk halang mudarat PH,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa berucap pada program Sarapan Pagi Bersama Veteran UMNO di Perkarangan Pejabat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seberang Takir, di sini, hari ini.

Turut hadir ADUN Seberang Takir, Datuk Seri Ahmad Razif Abd. Rahman.

Dalam pada itu, Khairuddin berkata, beliau berhak bercakap soal Muafakat Nasional (MN) kerana terlibat secara langsung dengan proses merealisasikan penyatuan dua parti Melayu-Islam sejak awal sebelum BN tewas pada PRU14.

“Saya merupakan antara wakil Pas yang terlibat secara langsung sejak awal lagi untuk menyatukan Pas dan UMNO,” katanya. – MalaysiaGazette