TAPAH – Penyandang kerusi Parlimen Tapah, Datuk Seri M Saravanan mahu masyarakat menilai Timbalan Presiden PKR, Rafizi Ramli yang gemar muncul di khalayak ramai menjelang pilihan raya.
Timbalan Presiden MIC itu berkata, Rafizi turut muncul bersama-sama teori yang mengelirukan orang ramai selain fitnah yang membuatkan rakyat membenci Barisan Nasional (BN).
“Itu sahaja modalnya, bagi undi kepada yang tidak berbuat apa-apa. Kemudian selepas menang juga tidak perlu berbuat apa-apa untuk rakyat selain berterusan menyebarkan fitnah dan tohmahan.
“Saya beri anda contoh, saya gelar Rafizi ini ajaib kerana hanya akan muncul musim pilihan raya dengan segala macam teori pelik dan tidak berasas. Ingat lagi PRU 2018, Rafizi yang paling banyak melakukan provokasi terhadap rakyat, pelbagai fitnah sehingga kerajaan jatuh.
“Saya tanya, selepas tukar kerajaan pada 2018, seramai 17,000 pekerja kontrak telah di berhentikan kerja, mana masa Rafizi ketika itu? Bukankah ketika itu Rafizi perlu bela nasib 17,000 pekerja kontrak yang juga rata-ratanya golongan muda? Semua diberhentikan selepas PRU-14.
“Masa kita sedang derita Covid-19, mana Rafizi dan teorinya? Ketika rakyat susah, kamu hilang begitu sahaja. Bila PRU sahaja kamu muncul balik? Cukuplah, janganlah termakan lagi dengan janji-janji palsu serta teori tidak berfakta oleh lelaki ini,” katanya kepada MalaysiaGazette.
Dalam pada itu, Saravanan tidak hairan terhadap krisis perebutan kerusi antara DAP dan Amanah.
“Ketika PRU-14, mereka (PH) bertanding seperti satu pasukan yang utuh dan kuat, tetapi tidak sampai 22 bulan bila adanya Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka kemudian Johor, mereka sudah berpecah kepada lima parti dan bertanding sesama sendiri.
“Mereka tidak boleh bersatu padu untuk menjadi satu kerajaan kukuh, saya harap rakyat jangan buat kesilapan sekali lagi dengan mengundi mereka, mereka langsung tidak boleh bawa kestabilan mahupun membela nasib rakyat sehingga bila-bila,” tegasnya.
Ketika ini DAP dan Amanah masih lagi bertelagah mengenai kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Changkat Jong di bawah Parlimen Teluk Intan apabila kedua-dua parti mengumumkan calon masing-masing. – MalaysiaGazette