Sultanah Terengganu Sultanah Nur Zahirah berkenan menerima replika cek berjumlah RM100,000 daripada Syaiful Rizal untuk BAP penuntut di UniSZA.

TERENGGANU – Prihatin dengan nasib mereka yang memerlukan, Yayasan Bank Rakyat (YBR) memperuntukkan kira-kira RM400,000 dalam bentuk Bantuan Awal Pengajian (BAP) untuk meringankan beban penuntut Institut Pengajian Tinggi Awam (IPTA) di pantai timur.

Sebanyak empat IPTA terlibat dengan BAP iaitu Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA), Universiti Malaysia Kelantan (UMK), Universiti Malaysia Terengganu (UMT) dan Universiti Malaysia Pahang (UMP).

Menurut Pengurus Besar YBR, Syaiful Rizal Abdul Ghani, semua IPTA itu melibatkan seramai 400 penuntut dari keluarga B40 yang menerima bantuan itu.

“Program BAP ini dirancang untuk membantu keluarga kurang berkemampuan terutama masyarakat luar bandar, pedalaman dan miskin bandar berpeluang melihat anak mereka dapat melanjutkan pengajian ke peringkat lebih tinggi.

“Bantuan ini juga adalah hasil kerjasama dan perbincangan daripada YBR bersama 18 IPT terpilih di seluruh negara.

“Kita harapkan dapat melahirkan penuntut yang lebih komited, berkualiti, mampan serta mampu berdaya saing di semua peringkat yang menjadi asas kepada kemakmuran dan kesejahteraan negara untuk jangka masa panjang,” katanya dalam kenyataan kepada media, semalam.

Duli Yang Amat Mulia, Sultanah Terengganu Sultanah Nur Zahirah berkenan mencemar duli menerima replika cek berjumlah RM100,000 daripada Syaiful Rizal.

Turut hadir, Pengurus Jabatan Komunikasi Korporat, Mohamad Ghazali Zainal Abidin.

Menurut Syaiful Rizal lagi, sepanjang tahun ini, YBR telah memperuntukkan sebanyak RM2.37 juta yang telah dimanfaatkan oleh 3,012 mahasiswa dan mahasiswi berbilang agama dan kaum.

Kata beliau, penerima BAP adalah anak keluarga berpendapatan rendah yang telah menerima tawaran kemasukan untuk melanjutkan pelajaran di peringkat Diploma dan Ijazah Sarjana Muda serta semesta satu hingga semester ketiga.

Setiap dari mereka akan menerima bantuan sebanyak RM1,000 sebagai persediaan kemasukan sesi pengajian yang baharu bermula. – MalaysiaGazette