Keadaan jambatan Julto Pool, yang runtuh di Gujarat. Foto Twitter

GUJARAT – Sekurang-kurangnya 78 orang maut selepas jambatan pejalan kaki yang berusia 143 tahun runtuh di sini.

Media tempatan melaporkan beratus-ratus orang terhumban ke dalam Sungai Macchu di bandar Morbi dalam kejadian yang berlaku pada jam 6.40 petang pada hari Ahad.

Malah, beberapa ratus lagi dikatakan terperangkap di atas sebahagian jambatan yang tergantung.

Video-video yang dirakamkan menunjukkan mangsa-mangsa yang terselamat terpaksa berpaut pada tali jambatan yang gantung dengan sebahagiannya tenggelam.

Laporan mengatakan seramai 400 orang berada di struktur itu semasa kejadian berlaku.

Lebih 80 orang telah diselamatkan, kata Menteri Negeri, Brijesh Merja.

Insiden itu berlaku beberapa hari selepas jambatan itu dibuka semula setelah kerja-kerja pembaikan selesai.

Lintasan era kolonial yang dikenali sebagai Julto Pool itu sepanjang 230 meter (754 kaki)  dibina semasa pemerintahan British di India pada abad ke-19 dan ia merupakan tarikan pelancong yang popular di kawasan ini.

Video menunjukkan keadaan huru-hara ketika orang ramai yang berada tebing sungai cuba menyelamatkan mereka yang terperangkap di dalam air ketika waktu hampir malam.

Pasukan kecemasan dikerah untuk kerja-kerja menyelamat dan operasi berterusan sepanjang malam.

Setakat ini punca jambatan runtuh belum diketahui tetapi pihak berkuasa tempatan tidak menolak tragedi itu berlaku akibat kesesakan kerana cuti untuk perayaan Diwali.

Video yang tersebar di media sosial menunjukkan jejantas itu sesak pada siang hari dengan pejalan kaki. – Agensi

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast