Seorang anggota polis mendukung bayi lelaki yang ditinggalkan dalam kotak di kawasan hentian bas di Jalan Sungai Besi Indah 2, Seri Kembangan untuk di bawa ke hospital bagi pemeriksaan perubatan. Foto: Ihsan IPD Serdang

SERDANG – Seorang bayi lelaki yang baru dilahirkan ditinggalkan dalam kotak ditemui orang awam di kawasan perhentian bas berhampiran sebuah pangsapuri di Jalan Sungai Besi Indah, 2, Seri Kembangan, di sini, hari ini.

Ketua Polis Daerah Serdang, Asisten Komisioner AA Anbalagan berkata, pihaknya menerima maklumat mengenai penemuan itu pada jamĀ 9.25 pagi.

“Polis bertindak atas maklumat itu telah bergegas ke lokasi, siasatan awal mendapati bayi lelaki berkenaan ditinggalkan dalam sebuah kotak berwarna coklat di hentian bas berhadapan Pangsapuri Sungai Besi Indah, Seri Kembangan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Tambah Anbalagan, polis telah mempergiatkan usaha untuk mengesan individu yang meninggalkan bayi tersebut.

“Pada masa sama, usaha untuk mengesan saksi bebas serta kamera litar tertutup (CCTV) di kawasan berhampiran sedang dijalankan polis bagi menjejaki suspek yang bertanggungjawab itu,” katanya.

Menurut beliau, bayi itu telah dibawa ke Hospital Serdang untuk pemeriksaan perubatan dan kes disiasat di bawah Seksyen 317 Kanun Keseksaan. – MalaysiaGazette