Ketua Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) Wilayah Persekutan,Datuk Seri Khairuddin Abu Hassan bercakap kepada media mengenai persediaan jentera PRU15 ketika di PV128, Taman Danau Kota, Kuala Lumpur. Foto MOHD ADZLAN, 11 OKTOBER 2022.

KUALA LUMPUR – Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Rafizi Ramli diingatkan untuk tidak menafikan fakta melibatkan Pengerusi Parti Pejuang Tanahair (Pejuang), Tun Dr Mahathir Mohamad.

Ketua Pejuang Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Khairuddin Abu Hassan berkata, Dr. Mahathir adalah punca kemenangan Pakatan Harapan (PH) pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14)  apabila berjaya membuat peralihan undi Melayu atas pagar.

“Presiden PKR (Datuk Seri Anwar Ibrahim) sendiri pada waktu itu masih meringkuk di dalam penjara dan semua gerak kerja strategi di lapangan dikepalai Dr. Mahathir.

“Ini fakta yang hakikat dan hakiki yang tidak boleh dipadamkan oleh sesiapa pun” katanya dalam kenyataan hari ini.

Tambah Khairuddin yang juga Ketua Parti Gerakan Tanahair (GTA), Anwar gagal menyusun langkah membentuk kerajaan di Putrajaya dari PRU-10 pada tahun 1999 sehingga PRU 2013.

PH yang berjaya menumbangkan UMNO dan BN setelah lebih 60 tahun memerintah negara pun disebabkan faktor serta aura Tun Mahathir, dakwanya.

Mengulas lanjut beliau berkata, sekiranya Timbalan Presiden PKR itu tetap angkuh dan yakin pembangkang boleh menang majoriti kerusi PRU15 mereka akan melihat perkara di sebaiknya akan berlaku.

“Kita lihat di mana PH mahu pun PKR akan berada selepas PRU-15 kelak. PH dan PKR ada perpecahan dalaman sesama mereka, rakyat juga sudah hilang keyakinan dengan kepimpinan Anwar Ibrahim” katanya.

Justeru Khairuddin memberitahu, Dr. Mahathir secara jujur dan ikhlas mencadangkan untuk menyatupadukan semula semua pembangkang seperti yang disarankan rakyat.

“Keputusan Dr Mahathir Mohamad untuk bekerjasama dengan PN serta berjumpa dengan Anwar adalah atas desakan daripada rakyat jelata.

“Inilah kekuatan cara Dr Mahathir berpolitik yang sanggup ketepikan ego mahu pun perbedaan pendapat di masa silam demi menjaminkan kita akan berjaya sekali lagi menewaskan UMNO dan BN” katanya.

Sebelum ini media melaporkan Rafizi bertegas PH tidak perlu bekerjasama dengan Dr. Mahathir pada PRU-15 untuk meraih sokongan orang Melayu.

Rafizi mendakwa, berdasarkan data, bekas perdana menteri itu tidak membawa undi Melayu untuk gabungan itu pada PRU lalu.

Kata Rafizi, angka sokongan Melayu kepada PH tidak  berubah selama beberapa bulan selepas Dr. Mahathir dan Bersatu menyertai gabungan itu pada 2016.

Khairuddin kemudian menyifatkan Rafizi sebagai ‘kaki putar belit’ fakta yang mengubah keputusan kaji selidik mengikut citarasa maklumat yang hendak disampaikan kepada umum.

Malah katanya, banyak hasil kajian Rafizi tidak tepat dan sering bercanggah dengan ramalannya.

“Apa pun Rafizi hendak tohmah keseluruhan rakyat jelata tahu fakta yang hakikat. Biar Rafizi ‘terjun dengan labu-labunya,” tempelak Khairuddin. -MalaysiaGazette.

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

1 Komen

Comments are closed.