KUALA LUMPUR – Telekom Malaysia Bhd (TM) menandatangani Perjanjian Akses (AA) dengan Digital Nasional Bhd (DNB) pada 30 Okt, 2022 untuk melanggan perkhidmatan 5G terkawal DNB termasuk, tetapi tidak terhad kepada, produk rangkaian borong 5G nasional.
Dalam kenyataan kepada Bursa Malaysia pada Isnin, TM menjelaskan mengikut AA itu, DNB akan menyediakan produk rangkaian borong 5G nasional, yang merupakan produk asas dalam rangkaian akses 5G DNB kepada TM yang bermula secara retrospektif pada 7 Okt, 2022 sehingga tamat tempoh 10 tahun pada 6 Okt, 2032.
“TM perlu melanggan produk rangkaian borong 5G nasional itu untuk mendapatkan akses kepada perkhidmatan 5G lain yang ditawarkan oleh DNB,” menurut syarikat utama telekomunikasi itu.
“5G akan mempercepat matlamat TM dalam menawarkan konvergen mudah alih tetap (FMC) dan penyelesaian digital termaju untuk memenuhi keperluan masyarakat, perusahaan, industri dan negara yang dinamik dan semakin berkembang,” jelasnya.
Menurut TM dengan kira-kira 2.9 juta pelanggan jalur lebar tetap yang direkodkan setakat separuh pertama 2022, penyediaan perkhidmatan 5G akan melonjakkan kedudukan TM sebagai rakan kongsi pilihan dalam mempercepat penerimagunaan FMC melalui penyelesaian 5G dan jalur lebar tetap.
“Selain membolehkan ekosistem 5G dengan menjadi rakan kongsi kepada DNB bagi pelancaran infrastruktur yang lebih pantas, TM juga akan berperanan sebagai penyedia FMC utama ke arah merealisasikan aspirasi ekonomi digital Malaysia,” menurutnya.
TM adalah antara empat pengendali rangkaian mudah alih (MNO) yang menandatangani Perjanjian Langganan Saham (SSA) membabitkan 65 peratus pegangan ekuiti dalam DNB pada awal Oktober.
Di bawah SSA itu, TM dan YTL Communications Sdn Bhd (YES) masing-masing memegang 20 peratus kepentingan manakala Celcom Axiata Bhd dan Digi Telecommunications Sdn Bhd pula dengan masing-masing 12.5 peratus kepentingan dan kerajaan memegang baki 35 peratus lagi dan saham khas dalam DNB.
— BERNAMA