Adam Adli dan Prof Dr Massila

MELAKA – Jika percaturan Barisan Nasional (BN) malam ini menjadi realiti, kerusi Parlimen Hang Tuah Jaya tentu sekali akan menjadi tumpuan sepanjang tempoh kempen Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Apa tidaknya, ia apabila nama Naib Canselor Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM), Prof Dr Massila Kamalrudin adalah antara calon terakhir BN yang disebut-sebut  sekaligus akan menyaksikan tokoh berusia 41 tahun itu menentang calon Pakatan Harapan (PH), Adam Adli Abd Halim.

Jika susunan ini menjadi realiti sehingga hari penamaan calon pada 5 November ini, ia mungkin pertembungan pertama antara ‘Budak U’ dan ‘Naib Canselor U’ yang tentu sekali menarik untuk diikuti.

Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) berusia 33 tahun itu bukanlah asing ekoran kelantangan graduan Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) itu sebelum ini bergerak sebagai aktivis mahasiswa ketika di zaman universiti membawakan isu pendidikan.

Dr Massila ketika ditemui media hari ini bagaimanapun enggan mengulas lanjut mengenai spekulasi  itu sebaliknya meminta semua pihak untuk menunggu pengumuman rasmi pucuk pimpinan parti malam ini.

“Itu (calon) baru disebut-sebut sahaja, saya tidak mahu komen lanjut dan kita tunggu sahajalah nanti.

“Cuma apa-apa pun doa sahajalah yang baik baik, tapi rasanya saya ada muka nak jadi ahli politik ke?” soalnya ketika ditemui pada sidang media pemaklumkan Majlis Konvokesyen UTeM Ke-18 di Durian Tunggal di sini hari ini.

Massila berasal dari Banda Hilir, Melaka dilantik sebagai Naib Canselor UTeM kelima pada 21 Mac lalu dan individu kedua dalam kalangan wanita yang menerajui kepemimpinan universiti terbabit, sekali gus dalam kalangan Rangkaian Universiti Teknikal Malaysia (MTUN).

Parlimen Hang Tuah Jaya yang sebelum ini pernah menjadi kubu kuat BN berjaya dirampas calon PKR, Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd Akin sejak dua penggal lalu.

Beliau turut menewaskan bekas Ketua Menteri Melaka, Tun Mohd Ali Mohd Rustam ketika tsunami politik pada PRU-14 lalu yang menyaksikannya mendapat majoriti 8,640 undi.

PH pada Jumaat lalu menamakan Adam Adli sebagai calon di kerusi berkenaan manakala Perikatan Nasional (PN) pula dikhabarkan kan mencalonkan bekas Rektor UTeM, Datuk Dr Mohd Ruddin Abd Ghani yang juga bekas Ahli Parlimen Bukit Katil pada 2004.

BN dan PN dijadual akan mengumumkan calon parti bertanding dalam PRU15 malam ini secara serentak dari dua lokasi berlainan di ibu negara malam ini.

BN akan mengumumkan calon mereka di Dewan Tun Hussein Onn, Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL) manakala PNdi Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC). – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

1 Komen

  1. Budak u tapi bodoh dan tak tahu adab. Dia cuma tahu budaya demonstrasi membuta tuli. Akal tak panjang hanya tau cakap macam bos bos dia. Tentu tak bokeh buat kerja. Dia budak despatch.

Comments are closed.