KUALA LUMPUR – Berhenti tular gambar harimau dan menakutkan orang ramai, kata Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) yang menafikan kehadiran seekor harimau di Sungai Kelambu, Banting, Selangor dan Sungai Terah, Gua Musang, Kelantan.
Peringatan itu susulan penularan sekeping gambar harimau di media sosial sejak kebelakangan ini .
Ketua Pengarahnya, Datuk Abdul Kadir Abu Hashim berkata, kelibat harimau yang tular itu dipercayai dikesan di Indonesia, berdasarkan gambar yang dikesan turut disiarkan dalam sebuah portal negara itu pada Mac lalu.
“Semakan awal Perhilitan mendapati lokasi pergerakan binatang liar itu bukannya berlaku di Sungai Kelambu (Banting, Selangor) dan Sungai Terah (Gua Musang, Kelantan) seperti yang tular di media sosial.
“Setakat jam 10 pagi hari ini (Selasa), pihak Perhilitan tidak menerima sebarang laporan berkaitan insiden itu.
“Akan tetapi, Perhilitan tetap meneruskan pemantauannya dari semasa ke semasa untuk sebarang kemungkinan tersebut,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Tambah beliau, Perhilitan turut mengingatkan kepada masyarakat setempat agar tidak sewenang-wenangnya menularkan perkara yang tidak dipastikan kesahihannya serta tanpa usul periksa kebenaran insiden tersebut.
Beliau menasihati orang ramai supaya sentiasa menyemak dengan pihak berwajib untuk pengesahan lanjut terlebih dahulu bagi mengelakkan sebarang kegusaran awam.
Pada 30 Oktober 2022, sekeping gambar dan rakaman suara individu yang mendakwa seekor harimau dikesan berkeliaran di kawasan kebun di Sungai Kelambu telah tular di aplikasi WhatsApp, sekali gus mencetuskan kerisauan awam.
Malah sebelum ini media tempatan juga melaporkan berita mengenai kemunculan seekor harimau belang dewasa di ladang kelapa sawit yang terletak berhampiran dengan kampung mereka hingga mencetuskan kegusaran penduduk di Kampung Gua Air dan pekerja Ladang Sungai Terah di Gua Musang.- MalaysiaGazette