GEORGE TOWN – Tinggal beberapa jam sahaja lagi Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin dijangka mengumumkan senarai calon komponen parti itu yang akan bertanding kerusi Parlimen pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).
Bagaimanapun nama Presiden Parti Gerakan, Datuk Dominic Lau Hoe Chai dikatakan tiada dalam senarai itu.
Sumber MalaysiaGazette berkata, tidak timbul isu nama Dominic digugurkan sebaliknya Senator Dewan Negara itu memilih untuk bertanding kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang.
“Mana ada nama Dominic digugurkan? Memang betul beliau akan bertanding di Pulau Pinang pada PRU15 ini tetapi beliau tidak dinyatakan sama ada kerusi Parlimen atau DUN. Beliau hanya sahkan akan bertanding di negeri itu sahaja.
“Beliau akan bertanding salah satu kerusi DUN di bawah Parlimen Batu Kawan nanti,” katanya kepada MalaysiaGazette hari ini.
Media sebelum ini melaporkan Presiden Gerakan telah mengesahkan beliau akan bertanding di Pulau Pinang pada PRU15.
Bagaimanapun, beliau enggan mendedahkan kerusi mana yang bakal ditandinginya sebaliknya memberitahu wartawan supaya menunggu sehingga pengumuman rasmi dibuat. – MalaysiaGazette