AMLA MACC Senior Enforcer US$6.94 million MEIO Hasanah case item Eric Chang 4 years old boy murder

KUALA LUMPUR — Pihak-pihak dalam kes tuntutan harta sepencarian berjumlah RM1 bilion yang difailkan balu Allahyarham Tan Sri Jamaludin Jarjis, Puan Sri Kalsom Ismail terhadap empat anak dan ibu mentuanya dalam proses perbincangan untuk menyelesaikan kes itu secara baik di luar mahkamah.

Empat anak Kalsom iaitu Ikwan Hafiz, Nur Anis, Nurul Alyaa dan Noor Adilla manakala ibu mentuanya, Aminah Abdullah adalah defendan dalam kes itu.

Peguam Syarie Nor Husniah Husin yang mewakili Kalsom, 66, selaku plaintif memaklumkan kepada Hakim Syarie Abdul Shukor Abd Hamid bahawa kesemua defendan sedang berbincang untuk menyelesaikan kes tersebut seperti saranan hakim itu pada tarikh sebutan kes sebelum ini.

“Oleh itu, kesemua pihak bersetuju untuk melapangkan tarikh perbicaraan hari ini dan 14 Nov bagi memberi laluan kepada perbincangan keluarga yang tidak melibatkan peguam,” katanya.

Peguam Syarie Nur Hidayah A Bakar dan Farhan Haziq Mohamed yang mewakili Aminah mengesahkan perkara itu dan memberitahu mahkamah, pihak-pihak juga bersetuju untuk menggantikan tarikh perbicaraan yang dilapangkan hari ini dengan tarikh baharu.

Sementara itu, seorang lagi peguam syarie yang mewakili Kalsom, Datuk Sulaiman Abdullah berkata, kesemua pihak memerlukan masa untuk mengadakan perbincangan antara keluarga yang dapat menjimatkan kos serta masa mahkamah daripada mendengar kes itu.

“Setakat ini, anak guam saya memaklumkan perbincangan keluarga berjalan dengan lancar dan tiada keperluan untuk perbicaraan dijalankan di hadapan Yang Arif. Sekiranya penyelesaian melalui perbincangan keluarga tidak berjaya, pihak kami akan memfailkan penyata keterangan tambahan berkaitan tuntutan itu tujuh hari sebelum tarikh perbicaraan,” kata peguam tersebut.

Selepas mendengar hujah kedua-dua pihak, mahkamah menetapkan 31 Jan untuk mengetahui status perbincangan penyelesaian kes itu dan melapangkan kesemua tarikh perbicaraan yang ditetapkan sementara menunggu hasil perbincangan.

“Mahkamah meraikan tindakan untuk berbincang bagi menyelesaikan kes itu. Memandangkan terdapat tolak ansur daripada kesemua pihak untuk menyelesaikan tuntutan kes itu secara baik, diharapkan tidak berlaku sebarang pertengkaran yang dapat merosakkan institusi kekeluargaan,” kata hakim syarie itu.

Kalsom memfailkan tuntutan harta sepencarian termasuk 20 hartanah di Malaysia, Makkah serta beberapa syarikat pada Oktober 2018, dengan menamakan empat anak serta ibu mentuanya sebagai defendan.

Pada 28 Ogos lepas, mahkamah sama membenarkan permohonan Kalsom untuk meminda pernyataan tuntutan, antaranya membabitkan perkataan hartanah di Boston, Amerika Syarikat dibuang dalam pernyataan tuntutan.

Selain itu, saham dalam syarikat Rantai Wawasan, isu sumbangan tidak langsung berkaitan penjagaan Jamaludin semasa sakit kaki dan isu berkaitan tanah di Gombak dimasukkan dalam pernyataan tuntutan yang dipinda.

Pada 4 April 2015, Jamaludin, yang juga bekas Duta Besar Malaysia ke Amerika Syarikat, ketika itu berusia 64 tahun, bersama lima lagi maut apabila helikopter yang mereka naiki dari Pekan, Pahang ke Kuala Lumpur terhempas di kawasan kebun getah di Kampung Sungai Pening, Semenyih pada 4.55 petang.

Turut maut juruterbangnya Kapten Clifford William Fournier, Ketua Setiausaha Sulit kepada bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak, Datuk Seri Azlin Alias, ahli perniagaan Datuk Tan Huat Seang, pegawai peribadi Jamaludin, Razakan Seran serta seorang wanita yang dikenali sebagai Aidana Baizieva. – BERNAMA

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast