KUALA LUMPUR – Empangan Hidro Tenom Pangi yang menyaksikan tanah runtuh baru-baru ini sebenarnya dibina untuk menyalurkan bekalan elektrik di kawasan sekitar dan bukan sebagai takungan air yang berlebihan.
Tetapi kerosakan pada bahagian empangan ini adalah disebabkan oleh aliran serpihan yang terdiri daripada batu-batuan dan pokok-pokok yang telah hanyut dan terkumpul di bahagian empangan.
Aliran serpihan ini merupakan antara bahaya geologi yang membawa maut dan boleh menyebabkan kerosakan harta benda terutamanya di Malaysia.
Pensyarah Kanan dari Fakulti Kejuruteraan Universiti Malaysia Sabah (UMS) yang juga Felo Penyelidik Utama bagi Pusat Kajian Bencana Alam (NDRC), UMS, Ts Dr Noor Sheena Herayani Harith berkata, kejadian tanah runtuh itu berkemungkinan terjadi akibat terdapat kawasan tanah runtuh berdekatan disebabkan hujan yang berpanjangan sebelum dihanyutkan oleh arus sungai dan akhirnya terkumpul di bahagian empangan.
Oleh kerana tahap tampungan dan bebanan yang besar, struktur empangan tersebut tidak dapat menanggung beban luar jangkaan dan seterusnya telah menyebabkan keruntuhan.
”Disebabkan kejadian ini, maka lebihan debri telah melimpah dan membanjiri kawasan sekitar empangan seterusnya merosakkan dan menimbus beberapa struktur bangunan terutamanya kawasan perumahan berdekatan serta kenderaan.
”Kejadian serupa dapat dilihat daripada peristiwa pasca gempa bumi dahulu yang disusuli oleh kejadian tanah runtuh dan hujan yang berpanjangan berlaku pada tahun 2015 di kawasan Mesilau dan Ranau.
”Kejadian tersebut menyebabkan tanah runtuh dan seterusnya mengalirkan aliran serpihan di kawasan Mesilou yang mana struktur jambatan telah runtuh dan hanyut disebabkan bebanan yang terlalu tinggi,” katanya.
Beliau mengulas kejadian banjir di sekitar Tenom, Keningau dan
Beaufort hingga memusnahkan beberapa kawasan perumahan penduduk akibat daripada hujan yang berterusan.
Kejadian itu mendapati wujud aliran serpihan di kawasan Empangan Hidro Tenom Pangi.
Menurut Noor Sheena lagi, sudah tiba masanya kejadian bencana alam seperti aliran serpihan ini perlu diambil berat terutamanya apabila melibatkan pembinaan struktur yang besar seperti jambatan dan empangan.
Ia perlu mengambil kira analisis model aliran serpihan termasuk anggaran halaju dan larian atau haluan aliran serpihan tersebut dapat dibuat lebih awal dan seterusnya dapat mengurangkan risiko serta kerosakan akibat daripada bencana alam.
Semalam, enam lelaki terperangkap dalam insiden tanah runtuh di kawasan Empangan Hidro Tenom Pangi dan berjaya diselamatkan.
Mereka terperangkap di kawasan Power House (empangan itu) sekitar lima kilometer dari pagar utama bangunan.
Tindakan pasukan bomba berjalan kaki ke lokasi kejadian berjaya menemukan mangsa. – MalaysiaGazette