Gambar hiasan

PUTRAJAYA – Harga minyak masak botol 5 kilogram (kg) turun 60 sen kepada RM30.90 berbanding RM31.50 sebelum ini.

Manakala harga minyak masak kemasan botol 3 kg turun kepada RM19.60 daripada RM19.90, botol 2 kg (RM13.30 daripada RM13.50) dan botol 1 kg (RM6.90 daripada RM7.10).

Harga baharu ini berkuat kuasa dari 8 November  hingga 7 Disember ini.

Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) berkata,  harga baharu itu ditetapkan selepas kerajaan meneruskan kawalan harga minyak masak sawit botol yang dilaksanakan sejak 8 Ogos lalu.

Kawalan ini mengikut kaedah harga siling bergerak berdasarkan purata harga minyak sawit mentah dunia.

”Mana-mana pihak yang menjual melebihi harga maksima boleh diambil tindakan di bawah Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011 dan boleh dikenakan penalti,” katanya dalam kenyataan di sini.

Bagi kesalahan membabitkan individu boleh didenda oleh mahkamah sehingga RM100,000 atau dipenjarakan tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya manakala syarikat boleh didenda sehingga RM500,000. – MalaysiaGazette