khairuddin aman razali
Mohd Khairuddin Aman Razali

KUALA LUMPUR – Calon-calon baharu bersinergi muda yang diketengahkan Barisan Nasional (BN) untuk Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) memberi harapan besar kepada generasi baharu Malaysia.

Penyandang kerusi Parlimen Kuala Nerus, Datuk Dr. Mohd. Khairuddin Aman Razali berkata, mereka mampu membawa negara ke tahap integriti yang lebih tinggi bagi bagi mencapai kestabilan dan kemakmuran negara.

“Inilah masanya rakyat memberikan sokongan penuh kepada BN pada PRU-15 ini.

“Saya mengucapkan tahniah kepada semua calon yang diberikan amanah,” katanya dalam hantaran Facebook miliknya, hari ini.

Sementara itu, dalam hantaran berasingan, beliau yang juga bekas Setiausaha Majlis Syura Ulama Pas berkata, perbuatan menuduh seseorang melakukan rasuah juga adalah berdosa selagi dia tidak dibuktikan bersalah.

Mohd. Khairuddin menambah, prinsip Islam adalah seseorang itu tidak bersalah selagi tidak dibuktikan sebaliknya.

“Membakulkan tuduhan rasuah kepada kelompok orang Islam dan beriman adalah satu kezaliman dan percubaan mereka-reka persepsi serta sangkaan jahat yang dilarang oleh Islam,” jelasnya.

Sehubungan itu, beliau menasihatkan agar semua pihak tidak berkempen secara mencipta persepsi terhadap lawan politik kerana ia adalah dosa dan dilarang agama.

“Usah mencipta dosa di sebalik usaha mencari pahala. Bentangkan fakta dan data serta manifesto masing-masing.

“Juallah kelebihan dan keistimewaan calon yang ada. Itulah kemenangan pilihan raya yang diberkati Allah,” jelasnya. – MalaysiaGazette