Gambar hiasan

PUTRAJAYA – Mahkamah Persekutuan hari ini mengekalkan hukuman mati ke atas seorang ahli perniagaan yang membunuh bekas tunangnya sebelum membuang mayat wanita itu ke dalam sebatang sungai tujuh tahun lepas.

Rayuan terakhir Yuwafee Heidi Hamdan untuk mengetepikan sabitan dan hukuman mati ke atasnya ditolak oleh panel tiga hakim yang mendapati tiada merit dalam rayuannya.

Hakim Besar Sabah dan Sarawak Tan Sri Abang Iskandar Abang Hashim yang mempengerusikan panel itu berkata terdapat keterangan ikut keadaan untuk membuktikan Yuwafee bersalah.

“Kami mendapati sabitan ke atasnya adalah selamat dan kami mengekalkan keputusan Mahkamah Rayuan yang mengekalkan keputusan Mahkamah Tinggi yang menyabitkan perayu (Yuwafee) dan menjatuhkan hukuman mati ke atasnya,” katanya.

Dua lagi hakim yang merupakan anggota panel itu ialah Hakim Mahkamah Persekutuan  Datuk Harmindar Singh Dhaliwal dan Datuk Mohamad Zabidin Mohd Diah.

Yuwafee, 33 dijatuhkan hukuman mati oleh Mahkamah Tinggi pada 10 Okt 2019 selepas didapati bersalah membunuh  Normaizatul Nor Jaya, 22, seorang penyambut tetamu hotel di bawah jambatan Jalan Lombong, Saujana Putra di Sungai Jenjarom Kuala Langat, Selangor pada 29 Mei 2015.

Mahkamah Rayuan menolak rayuannya pada 19 Julai tahun lepas.

Menurut fakta kes, Yuwafee mengaku dia melakukan kesalahan itu dalam perbualan telefon dengan  bekas teman wanitanya,  Farah Adiba Badarudin.

Farah memberi keterangan di dalam perbicaraan itu bahawa Yuwafee memberitahunya bagaimana perayu melemaskan Normaizatul dengan menutup hidung dan mulut mangsa sehingga mati dan membuang mayat wanita itu ke dalam sungai.

Mayat wanita itu yang sebahagiannya sudah reput ditemukan dua hari kemudian di dalam sungai. Yuwafee kemudiannya ditahan pada 9 Jun 2015.

Dalam perbicaraan itu, pihak pendakwaan juga memanggil dua saksi, seorang rakan perayu dan kawan baiknya yang juga memberi keterangan bahawa Yuwafee memberitahu mereka bahawa dia membunuh wanita itu.

Semasa perbicaraan itu juga mahkamah diberitahu Normaizatul telah membuat laporan polis selepas perayu menyerangnya pada Januari dan Mei 2015.

Dalam pembelaannya, Yuwafee berkata beliau mengaku membunuh wanita itu kepada Farah kerana dia ingin melihat reaksi bekas teman wanitanya terhadap perbuatannya itu.

Yuwafee diwakili oleh peguam  K Mahendran dan Chan Hwi Ching sementara pihak pendakwaan diwakili Timbalan Pendakwa Raya How May Ling.

— BERNAMA

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast