KUALA LUMPUR – Nama-nama besar dalam Barisan Nasional (BN) yang digugurkan daripada bertanding pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) perlu menerima keputusan parti secara terbuka dan rasional.
Penganalisis politik, Profesor Madya Dr Jeniri Amir berkata, tindakan UMNO-BN pada kali ini seiring dengan hasrat rakyat yang mahu melihat parti tersebut melalui fasa diremajakan meskipun ia mengejutkan.
Jelas beliau, kepimpinan tertinggi UMNO pasti telah membuat penilaian secara terperinci mengambil kira pelbagai aspek sebelum membuat keputusan untuk mengemukakan beberapa nama ‘segar’ kali ini.
Katanya lagi, penilaian yang dibuat sudah tentu melibatkan prestasi parti itu dalam berdepan dengan beberapa Pilihan Raya Negeri (PRN) sebelum ini yang mengambil tindakan sama.
“Justeri UMNO nak remajakan parti seperti yang dilakukan Melaka dan Johor adalah mengemukakan calon baharu. Tindakan drastik itu telah menyebabkan UMNO menang lebih banyak kerusi, jadi atas justifikasi itu maka UMNO ambil keputusan berani.
“Apa yg diambil UMNO-BN selari dengan aspirasi kehendak tuntutan rakyat di peringkat akar umbi dengan kehadiran lebih banyak pengundi baru dan muda. Justeru mereka yang digugurkan tidak boleh emosional, harus rasional zaman mereka tidak boleh lagi menongkat langit,” katanya kepada MalaysiaGazette.
Tambah Jeneri, tokoh-tokoh lama yang tidak lagi dipertandingkan perlu menyokong calon baharu dan memastikan tidak ada sabotaj berlaku yang hanya akan akan memberi kesan buruk kepada BN.
Mengulas lanjut, Felo Kanan Majlis Profesor Negara itu berpendapat kekecewaan yang menjerumus kepada tindakan negatif sekali gus menggambarkan sifat sebenar pemimpin lama yang tidak dapat menerima hakikat dan enggan memberi ruang dan peluang kepada calon baharu.
“Mungkin ada mereka yang akan mengambil tindakan bertanding calon Bebas ada sebahagian berkemungkinan akan bertindak negatif sama ada tidak bekerjasama menyokong calon baharu atau sabotaj secara tidak langsung. Mereka tidak peduli parti lagi kerana kecewa tetapi dari sudut lain hakikatnya mereka sudah lama berada dalam BN-UMNO mereka dijulang oleh akar umbi dan kepimpinan selama ini, mereka sudah menunjukkan belang mereka, mementingkan diri.
“Tindakan memudaratkan parti hanya menggambarkan personaliti mereka yang lebih banyak mementingkan diri sendiri daripada perjuangan parti walau apa alasan mereka,” katanya.
Semalam, BN mengumumkan senarai nama hampir semua calon-calon yang akan bertanding dalam kerusi Parlimen pada pilihan raya kali ini.
Antara nama besar yang tidak dipertandingkan semula adalah Tan Sri Annuar Musa, Datuk Seri Shahidan Kassim, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman, Datuk Seri Adham Baba dan Datuk Halimah Sadique.
Bagaimanapun Jeneri berkata, di sebalik tindakan berani untuk menjadikan hasrat meremajakan parti menjadi realiti, pengguguran nama-nama besar dan berpengalaman dalam arena politik ini juga tidak dapat dinafikan mengundang persepsi negatif terhadap Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Zahid Hamidi.
Namun setidaknya ini langkah yang diakui seiring dengan hasrat parti untuk memenangi lebih banyak kerusi pada kali ini.
“Sebahagian mereka hakikatnya dianggap sudah lama berada di situ dari satu segi wajar digugurkan tapi adakah langkah ini berdasarkan untuk meremajakan parti atau ada agenda lain di sebaliknya ini akan menjadi menjadi persepsi umum sekarang.
“Pasti ada tanggapan mereka yang digugurkan adalah yang menentang kepimpinan Zahid dan tidak mesra dengan Zahid jadi itu dianggap sebagai hukuman mereka yang tidak sealiran dengan kepimpinan Presiden UMNO,” ujar beliau. – MalaysiaGazette
BN mesti jelaskan sebab apa mrk digugurkan. Kalau setakat dah berumur, Tengku Razaleigh lagi lama..kalau berbeza pandangan dgn kepimpinan, Tengku Razaleigh & KJ pun berbeza..jd apa sebenarnya sebab utama mrk digugurkan..perlu penjelasan supaya tak dikelirukan oleh pembangkang