Pengerusi BN Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad hadir ke Pengumuman calon Pilihan Raya Umum ke-15 Barisan Nasional Perak ketika di Hotel Casuarina, Bandar Meru Raya, Ipoh, Perak. Foto MOHD ADZLAN, 02 NOVEMBER 2022.

IPOH – Pengerusi Perhubungan UMNO Perak Datuk Seri Saarani Mohamad menasihatkan bekas Ahli Parlimen Pasir Salak bahawa kerusi yang disandangnya adalah milik parti.

Saarani berkata, semua pemimpin termasuk beliau perlu sedar kerusi yang ditandingi bukan milik individu.

Oleh itu, wakil rakyat perlu memulangkan kerusi yang disandang sekiranya parti meminta berbuat demikian.

“Saya tak boleh komen bagi pihak dia, sebab untuk diri saya dan rakan-rakan lain selalu saya sebut bila tidak dicalonkan lagi kita kena akur sebab tempat itu bukan kepunyaan kita. Tempat itu kepunyaan parti,” kata Saarani selepas Majlis Pengumuman Calon Pilihan Raya Umum Perak hari ini.

Menteri Besar Perak itu berkata, beliau tidak terkecuali dan sekiranya parti meminta untuk memulangkan kerusi beliau akan melakukannya.

Menurut Saarani, beliau sama sekali tidak akan membuat kacau jika tidak dicalonkan semula kerana sedar kerusi yang ditandingi adalah kepunyaan parti.

“Parti pinjamkan kepada kita, bila parti hendak balik dan beri kepada orang lain, kena akurlah sebab itu juga pesanan untuk saya, bila parti merasakan saya perlu berhenti saya akan berhenti.

“Saya tidak akan buat kacau sebab saya tahu, insaf dan faham kerusi itu kepunyaan parti bukan hak saya.

“Semua orang begitu bukan sahaja kepada Tajuddin siapa pun saya kena ingatkan kita tidak dicalonkan semula, sebaik sahaja bubar parlimen kita kena pulangkan kerusi itu kepada parti,” katanya.

Menurt Saarani, pemimpin yang telah diberikan peluang untuk menjadi wakil rakyat sepatunya memberi ruang kepada parti untuk menentukan siapa yang patut bertanding.

Nama Tajuddin tidak disebut dalam pengumuman calon Parlimen BN yang dibuat oleh Pengerusi BN Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi malam tadi.- MalaysiaGazette

1 Komen

Comments are closed.