Reezal Merican menunjukkan replika PPR membabitkan rumah pangsa empat tingkat kepada Ismail Sabri (tengah) yang akan dibina di Kepala Batas, Pulau Pinang.

KEPALA BATAS – Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob memberi jaminan setiap keluarga bakal memiliki rumah sendiri sekiranya kerajaan di bawah pimpinannya dibentuk selepas Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Kata beliau, ia selaras dengan peruntukan sebanyak RM372.3 bilion termasuk Skim Perumahan seperti yang dibentangkan menerusi Bajet 2023 pada 7 Oktober lalu.

Jelas beliau, skim perumahan itu memberi tumpuan kepada kesejahteraan Keluarga Malaysia dengan penyediaan kediaman mencukupi dan mampu dimiliki bagi memenuhi keperluan penambahan penduduk. 

Ismail Sabri berkata, Program Perumahan Rakyat (PPR) termasuk dalam skim perumahan itu juga akan memanfaat 12,400 penghuni baharu dengan peruntukan sebanyak RM367 juta.

“Saya beri jaminan semua skim perumahan ini akan dilaksanakan jika Kerajaan Pusat yang saya terajui dipilih semula pada PRU15 pada 19 November ini.

“Ia juga secara tidak langsung membuatkan seluruh Keluarga Malaysia dapat memiliki rumah sendiri selaras dengan aspirasi ‘Satu Keluarga Satu Rumah’,” katanya.

Ismail Sabri (tengah) melihat replika Kepala Batas Youth Centre (KBYC) yang akan dibina di Kepala Batas di sini.

Beliau berucap pada majlis perasmian pecah tanah tiga projek berskala besar di Kepala Batas membabitkan pembinaan PPR, masjid serta Kepala Batas Youth Centre (KBYC) di sini, hari ini.

Turut hadir, Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican yang juga penyandang kerusi Parlimen Kepala Batas.

Pada majlis sama, Ismail Sabri memaklumkan Kerajaan Persekutuan memperuntukan RM170 juta untuk projek PPR Kepala Batas membabitkan pembinaan 700 unit rumah pangsa empat tingkat di atas tanah seluas lapan hektar milik Lembaga Kemajuan Wilayah Pulau Pinang (Perda) di Pongsu Seribu di sini.

“Kos pembinaan seunit rumah PRR itu adalah RM161,000 tetapi akan dijual pada harga RM45,000 seunit dan ini menjadikan jumlah keseluruhan subsidi yang ditanggung kerajaan untuk projek ini berjumlah RM81.2 juta.  

“Meskipun Pulau Pinang adalah negeri yang diterajui pembangkang namun, Kerajaan Pusat masih memberi keutamaan terhadap pembangunan Keluarga Malaysia,” kata beliau.

Dalam perkembangan lain, Ismail Sabri berkata, bagi pembinaan Masjid Bandar Putra Bertam pula, ia dibangunkan di atas tanah seluas 2.023 hektar yang akan dibangunkan di atas tanah milik Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang (MAINPP) melalui kaedah perkongsian kos dengan jumlah kos keseluruhan sebanyak RM7 juta.

“Perkongsian kos itu melibatkan peruntukan RM4 juta daripada Kerajaan Persekutuan, RM2 juta daripada kerajaan negeri manakala RM1 juta sumbangan pihak kariah melalui kutipan wakaf dana pembangunan masjid.

“Selain itu, satu lagi projek iaitu KBYC akan dibina selaras dengan pengumuman kerajaan pada Hari Sukan Negara 2022 di atas tapak seluas lebih 10 hektar bernilai RM45 juta di Mukim 6 di sini,” jelas beliau. – MalaysiaGazette